Ahad, 12 Jun 2011

Mendepani Cabaran Semasa

SELAMAT PAGI 1MALAYSIA EDISI 16 MEI 2011
Penulis Skrip & Penyelidik: Shariff Ahmad
Penerbit SPM: Zamzuri Zawawi
Penerbit KHI: Awang Omar
Penerbit Penyelaras: Reeza Shariman
Penerbit Eksekutif: Roslan Ariffin

COMPERE 1:

Baik mulai hari ini dan hari-hari berikutnya, pertemuan seawal pagi begini, kita mulakan dengan kupasan topik-topik semasa di bawah segmen yang dinamakan KOMENTAR HARI INI.

Ia akan membicarakan soal-soal harian yang menjadi bahan bualan popular di kalangan masyarakat baik berunsur politik, sosial, keselamatan, pendidikan, keagamaan dan sebagainya.

Insya-Allah, di penghujungnya pula, segmen ini turut mendapatkan reaksi dari tetamu luar yang akan memberikan pandangan ringkas mengenai topik berkenaan.

COMPERE 2:

Benar saudara, kupasan dan maklumbalas pelbagai topik seumpamanya mampu membuka minda kita bagi menyelami setiap isu dengan harapan ia membawa ke satu titik persefahaman.

Sekaligus membuatkan kita sentiasa sensitif dan semakin hampir dengan perkembangan isu itu. Lantaran, menanganinya secara berhemah dan mencapai satu kesepakatan.

Baik saudara, sesuai dengan segmen sulung ini, tumpuan kita sempena Hari Guru hari ini, pastinya berkisar kepada halatuju dan peranan Tenaga Pendidik.

Kita ikuti kupasan yang disediakan oleh Shariff Ahmad bertajuk “MENDEPANI CABARAN SEMASA”. Silakan…

[[PENYAMPAI

Apakah kejutan yang bakal dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila melancarkan Sambutan Hari Guru di Kuching, Sarawak pagi ini?

Kononnya, ada khabar gembira dari Bumi Kenyalang sepertimana yang berlaku pada sambutan sebelum ini.

(SUPER TAJUK: MENDEPANI CABARAN SEMASA)

Adakah ia berupa insentif – kenaikan pangkat, gaji, elaun, soal kebajikan. atau kemudahan pembelajaran, kelengkapan dan peralatan serta suasana persekitaran?

Semuanya, satu kemungkinan. Namun, berdasarkan perkembangan semasa, sudah pasti imej dan martabat perguruan itu mahu diletakkan di barisan terunggul - selari dengan kerjaya yang disanjungi.

Sekaligus menyanggah andaian kononnya kerjaya perguruan dianaktirikan berbanding profesion lain. Benarkah? Atau, ia sekadar alasan.

Apapun, bagi 400 ribu tenaga pendidik di seluruh tanahair, sambutan tahunan itu bukan sekadar medan penyemarak semangat, sebaliknya penerap keazaman bagi memacu bidang pendidikan di persada terbilang.

Sesuai pula dengan tema sambutan tahun ini “Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara”, yang menuntut komitmen menyeluruh setiap warga pendidik untuk mencurahkan pengorbanan tertinggi.

Di tangan sang gurulah, terletaknya jari jemari kreatif yang bakal mencorakkan landskap kemajuan negara berteraskan pembangunan modal insan yang berkesan.

Justeru, guru-guru tidak harus meminggirkan diri – merasakan diri mereka kecil dan kerdil dan tidak dihargai. Jauh sekali beranggapan kononnya mereka komuniti kelas kedua, berbanding penjawat awam lain.

Hakikatnya, pelbagai insentif telah disediakan. Dari pertambahan elaun bertugas di kawasan pedalaman dan ceruk rantau sehinggalah kepada emolumen penyandangan jawatan guru cemerlang.

Kini, kedudukan guru sebaris dengan para pegawai Divisyen 1 yang lain di peringkat negeri dan daerah. Potensi untuk maju ke depan terbuka luas dengan penstrukturan gred termasuk Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) - membolehkan mereka menimkmati faedah seperti yang dinikmati oleh Pegawai Daerah. Mereka juga adalah Tuan Besar.

Begitu juga peluang-peluang memperbaiki diri terutama guru-guru muda untuk menguasai pendidikan tertinggi asalkan ada minat dan kecenderungan.

Bagi membolehkan mereka ditempatkan pada kedudukan lebih terhormat baik di sekolah, jabatan, kementerian, mahupun institusi pendidikan berkaitan termasuk kolej dan pelbagai pusat pengajian.

Potensi kerjaya melangkaui sempadan.

Selain itu, suasana perkhidmatan juga bertambah kondusif dengan kehadiran kemudahan peralatan dan kelengkapan moden serta canggih sesuai teknologi pendidikan masakini. Bukankah ia amat menakjubkan.

Persoalannya, apa lagi yang menjadi keresahan atau igauan masyarakat pendidik?

Atau dengan lain-lain perkataan, wajarkah timbul rungutan dan keluhan terutama yang membabitkan perkara-perkara rutin dan kecil berupa tugas sampingan.

Termasuklah misalannya, tugas tambahan sepertimana apa yang ditakrif sebagai kerja clerical atau perkeranian.

Apakah ia suatu tugas yang terlalu besar dan berlanjutan berhari-hari sehingga tergamak dianggap sebagai suatu bebanan?

Tentunya tidak jika ia digalas secara bergilir dan berkumpulan. Mentelah pula dirangka rapi dengan suatu penjadualan.

Melainkanlah jika guru sendiri tidak gemar dihubungkaitkan dengan istilah perkeranian.

Apapun, masalah itu turut diberikan perhatian apabila pihak berkuasa pendidikan menempatkan para pembantu tadbir secara berperingkat-peringkat di sekolah.

Diharap tiadalah lagi rungutan, sebaliknya berilah sepenuh tumpuan.

Hakikatnya, transformasi pendidikan bertujuan mengasaskan pembelajaran berkualiti kepada pembangunan sosioekonomi Negara - demi merealisasikan status negara maju tidak sampai sedekad lagi.

Maka itu, mahu tidak mahu tahap produktiviti dan kompetensi warga pendidik sebagai pelakar kemajuan pendidikan negara perlulah diutamakan.

Dari peringkat pengambilan lagi, saringan khusus harus dibuat bagi memastikan profesion perguruan itu bukan dianggap sebagai ‘pilihan terakhir’ – last resort bagi calon-calon.

Nawaitu untuk mencurahkan perngorbanan yang tidak terhingga besarnya harus diterapkan awal-awal lagi - supaya pembabitan mereka dalam kerjaya ini dibuat sepenuh jiwa raga.

Apatah lagi negara akan berdepan dengan cabaran globalisasi dan pengantarabangsaan ditambah dengan ledakan teknologi maklumat dan komunikasi.

Sesungguhnya, kita harus menghargai tanggungjawab yang diamanahkan.

Menguasai dan mendepani cabaran semasa, pendekatan setiap warga pendidik.

Call Out.

Baik bersama kita di talian sekarang ialah Prof. Dr. Abd Rahim Abd Rashid, Pengarah Pusat Pengembangan Futuristik, Kreativiti dan Inovasi, Kota Damansara.

1. Baik Prof. bagaimana Prof melihat kedudukan guru-guru pada hari ini dengan segala kemudahan dan insentif yang diperolehi. Adakah mereka dianggap terkebelakang berbanding dengan Negara-negara rantau ini ?

2. Kecenderungan untuk memilih bidang perguruan sebagai kerjaya nampaknya semakin membesar hari ini. Sehingga jumlah calon berlipatganda. Apakah Prof merasakan ada daya tarikan baru dalam kerjaya ini atau sekadar mahu menjadikan ia sebagai batu loncatan sahaja ?

3. Sebagai bekas pendidik Prof tentunya ingin menyarankan sesuatu sama ada kepada barisan guru ataupun pihak berkuasa pendidikan untuk merobah imej dan identiti pendidikan negara?

Baik terima kasih Prof. Itu tadi pandangan Prof. Dr. Abd Rahim Abd Rashid, Pengarah Pusat Pembelajaran Futuristik, Kreativiti dan Inovasi, Kota Dasamansara. Sekian sahaja Komentar Hari Ini. Kita jumpa lagi esok.

1 ulasan:

  1. Syabas! Blog ini dapat mendekatkan pengunjung dengan isu-isu semasa negara. Melalui penyelidikan saudara, masa kami dapat diselamatkan melalui analisis yang kejap dan jitu. Ternyata pengalaman panjang saudara dalam bidang kewartawanan cetak dan elektronik, memperkaya peribadi kami. Tahniah!

    BalasPadam