Khamis, 30 Jun 2011

Berulang Episod 1995

KOMENTAR HARI INI
SELAMAT PAGI 1MALAYSIA EDISI 28 MEI
TAJUK; BERULANG EPISOD 1995.
SKRIP/PENYELIDIK; SHARIFF AHMAD
PENERBIT SPM; SUE ARYANIE
PENERBIT SPM; AWANG OMAR
PENERBIT PENYELARAS;ALEX REEZA
PENERBIT EKSEKUTIF; ROSLAN ARIFFIN.

COMPERE

Baik saudara, sudah lama dunia bolasepak tanahair tidak diresapi dengan perkara-perkara negatif.

Sepertimana yang berlaku di sesetengah negara, sehinggalah kita menerima khabar buruk mengenai peristiwa yang membabitkan skuad Piala Presiden Negeri Sembilan semalam.    

Benar, rasuah bukan terbatas di padang sahaja, malah dalam persatuan sendiri. Seperti Qatar yang didakwa menggunakan habuan untuk membida tuan rumah Piala Dunia 2022.

Namun, mengapa mesti menggunakan jalan pintas untuk mengecapi kesenangan jika  sukan bolasepak itu sendiri sudah memberi segala-galanya.

Kita ikuti kupasan Komentar Hari Ini bertajuk “berulang Episod 1995” yang ditulis OLEH Shariff Ahmad.

[[PENYAMPAI

Belumpun sampai seminggu pengesahan pihak polis kononnya Liga Bolasepak Malaysia bersih dan selamat dari perjudian, timbul pula episod mengejutkan di Negeri Sembilan.

Kononnya berlakunya kegiatan mengatur perlawanan dalam skuad Piala Presidennya. Pasukan senior dalam Liga Super juga disangsikan. 

Ramai yang menjangkakan bila Pengarah Keselamatan Dalam  Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Rashid membuat rumusan, segala-galanya aman.

Apa tidaknya, penilaian polis dibuat bukan sekadar siasatan dalaman bahkan turut mendapat bantuan FIFA, badan tertinggi bolasepak dunia.

Kenyataan itu pula dibuat tatkala kunjungan Ketua Keselamatan FIFA, Chris Eaton bersama anggota delegasi dalam satu sesi taklimat di Wisma FAM Kelana Jaya.

Tentulah beliau kini pelik dan hairan apabila aduan dikemukakan Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan – PBNS berhubung gejala rasuah yang melanda pasukan remaja negeri beradat itu sejak tahun lalu.

Seingat beliau, perjalanan bolasepak negara tenteram selepas berdepan “penyakit kanser” 1995 yang menyaksikan sebilangan pemain digantung dan dibuang daerah kerana pembabitan dalam kegiatan tidak bermaruah.

Rupa-rupanya selepas 15 tahun, episod lama berulang kembali.

Bukan sahaja para pemain bahkan pihak pengurusan. Malahan, memetik kata-kata Presiden PBNS, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan, unsur negatif juga mungkin berlaku dalam pasukan Liga Super.

Apa tidaknya, Negeri Sembilan yang pernah muncul juara Piala Malaysia serta Piala FA tiba-tiba terperosok di tangga bawah. Dengan berbaki hanya 5 lagi perlawanan, ia ketinggalan jauh di belakang di tangga  ke 9 dari 14 pasukan.

Manakala Pasukan remajanya pula yang pernah muncul juara Piala Presiden pada 2001/2002 juga kelihatan tidak bermaya.

Apa sudah jadi dengan “Hobin Jang Hobin ? Dengan segala kemudahan dan kemewahan yang dikecapi, adakah ini bentuk balasan yang diberi. Tukar jurulatih pun tidak banyak membawa perubahan.

Tidak hairanlah mengapa Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan naik berang. Kerana beliau mengatur segala-galanya untuk pasukan negeri, termasuk ganjaran dan kebajikan.

Sebab itu Menteri Besar disandarkan harapan supaya para pemain tidak kelaparan.

Khabarnya, perbelanjaan membayar gaji sahaja mencecah 300 ribu ringgit sebulan. Namun, lain pula yang diatur segelintir individu dalam pasukan yang agak mabuk dengan habuan.

 “Orang main bola, pakai keting, dia pakai lutut,” sindir Dato’ Seri Mohamad. “Kalau gitu, baiklah pakai orang Kuala Sawah atau Kundur Ulu sahaja.

Dengan lain perkataan, tidak ada sebab mengapa pemain harus menyimpang jauh jika ganjaran yang diperolehi dari majikan sudah berpada. Tidak adil rasanya jika dinilai dari segi balasan dan pengorbanan.

Persoalannya sekarang, apakah episod itu melanda skuad Negeri Sembilan sahaja ? Tidakkah pasukan lain terancam sama ?

Inilah teka teki yang harus dijawab oleh setiap pasukan negeri. Ibarat air tenang jangan di sangka tiada buaya, pemantauan menyeluruh perlu diberi. Amalan buruk harus dijauhi.  

Lazimnya, sindiket judi mempunyai jaringan yang rapi dan bergerak di setiap negeri. Tentulah dari segi logiknya, mereka mempunyai “kaki” baik dalam pasukan mahupun jaringan antara negeri.   

Tindakan konkrit harus dijalankan untuk membanteras gejala tidak sihat supaya ia tidak berakar umbi sehingga menyebabkan imej bolasepak tanahair tercalar sekali lagi.

Langkah yang diambil PBNS di bawah naungan Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan harus dicontohi, walaupun hakikatnya ia ibarat makan mati emak, luah mati bapa. Dalam keadaan serba salah.    

Hakikatnya, tindakan dari dalam lebih membawa makna daripada membiarkan ia bermaharajalela setelah penyakit kecil menjadi kanser.

Jangan ulangi epsiod hodoh ini.

CALL OUT:

Baik bersama kita di talian ialah YAB Dato’ Seri Utama Hj. Mohamad Hj. Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Presiden PBNS.

Assalamualaikum Dato’ Seri.. apa khabar….. difahamkan Dato’ Seri sudah keluar awal pagi….ke mana halanya …?

1. Dato’ Seri telah menyentap minda peminat bolasepak apabila PBNS membuat aduan kepada polis ekoran dakwaan berlaku kegiatan mengatur perlawanan dalam skuad Piala Presiden. Pasukan senior juga disangsikan. Apa ceritanya Dato’ Seri …sialakan.

2.Perlakuan buruk kadang kala bukan melambangkan keseluruhan pasukan tetapi disebabkan satu dua individu yang nakal, tamak dan bercita-cita  untuk mengaut keuntungan dalam sekelip mata. Mengapa agaknya, sukar dihidu perbuatan ini ?

3. Tentulah sindiket judi di luar yang harus juga di bawa meja pengadilan. Kerana merekalah kelompok yang bertanggungjawab memusnahkan kerjaya pemain dan juga imej bolasepak negara. Namun mengapa sukar ditangani ?

Baik, sekian sahaja komentar hari ini dengan tetamu, Dato’ Seri Utama Hj. Mohamad Hj. Hasan, Menteri Besar Negerti Sembilan yang juga Presiden PBNS. Terima kasih atas pandangan. Semoga ia amat berguna kepada kita semua. Kita jumpa lagi esok dengan topik lain pula.     

Kekal Tapi Tak Kekal

KOMENTAR HARI INI
SELAMAT PAGI 1 MALAYSIA EDISI 27/5
TAJUK; KEKAL…TAPI TAK KEKAL
SKRIP/PENYELIDIK; SHARIFF AHMAD
PENERBIT; RAFIDAH
PENERBIT PENYELARAS; ALEX REEZA
PENERBIT EKSEKUTIF; ROSLAN ARIFFIN

COMPERE 1:

Baik, jika semalam kita membicarakan soal kemelut pemberian biasiswa JPA, yang kini akan ditangani  oleh YAB Perdana Menteri  setelah dibincangkan pada mesyuarat jemaah menteri semalam…

Hari ini kita beralih pula ke satu topik lain yang berkisar kepada soal pengekalan harga bahan bakar yang hangat diperdebatkan sejak berminggu lalu.  


COMPERE 2:

Tiada kenaikan harga bererti, subsidi yang ditanggung oleh kerajaan juga tetap serupa. Malah meningkat lagi. Bagaimana pendekatan kerajaan dan rakyat susulan perkembangan ini?

Kita ikuti kupasan Komentar Hari Ini yang disediakan oleh SHARIFF AHMAD bertajuk ‘KEKAL.. ..TAPI TETAP KEKAL”, bersama ...

[[READER

“Demi kepentingan rakyat” itu simpulan Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pengekalan harga RON 95, diesel dan gas petroleum cecair – LPG kelmarin.. 

Kepentingan orang awam mengatasi segala-galanya. Setelah menyedari betapa rasa kurang senang diluahkan pelbagai pihak dengan langkah menaikkan harga bahan bakar itu.

Termasuk juga kalangan orang politik sama ada parti pembangkang mahupun parti pemerintah sendiri. Keduanya bagaikan senada menentang sebarang kenaikan meskipun cara luahannya sedikit berbeza.

Pergerakan Pemuda UMNO menerusi sayapnya di seluruh negara  begitu lantang dalam perkara ini, melahirkan rasa keresahan di kalangan golongan muda.  

Tetapi ramalan pembangkang tersasar dari landasan. Kenaikan tidak menjadi meskipun pada kadar 10 ke 15 sen. Sekaligus membataskannya untuk menjadikan ia sebagai isu. 

Hakikatnya, tiada siapa yang gemar dengan kenaikan ? Walaupun ia akibat kenaikan sejagat dan rantauan. Ia amat menyulitkan.

Bukan sahaja tidak sesuai pada saat negara berdepan suasana  ketidaktentuan ekonomi, bahkan dikhuatiri akan dieksploit  sesetengah pihak terutama peniaga untuk melonjakkan harga setiap urusan.

Masalahnya, bila harga petrol, diesel dan gas naik, maka sudah tentu barangan dan perkhidmatan lain juga naik kerana ia membabitkan soal pengangkutan.

Benar, pengekalan itu tiada kaitan dengan pilihanraya umum yang diramalkan, namun umum menyedari betapa tindakan seumpamanya boleh menjejaskan populariti kerajaan akibat kos perbelanjaan yang terpaksa ditanggung rakyat.
   
Biarlah dalam hubungan ini, kerajaan yang menggalas bebannya dengan jumlah subsidi… menjangkau sekali ganda tahun ini berbanding tahun sebelumnya.

Bayangkan bukan sedikit, tetapi 20.58 bilion ringgit dibandingkan 10.3 bilion ringgit tahun lalu. Berapa banyak projek yang mampu dibangunkan dengan wang sejumlah itu? 
     
Namun, persoalannya sampai bilakah subsidi dan pengekalan harga bahan bakar ini mampu bertahan ?

Adakah untuk sebulan dua ini, atau sampai ke penghujung tahun  ini. atau sepertimana yang diandaikan oleh sesetengah pihak, selepas berakhirnya pilihanraya nanti ?

Soalnya bila,. tahun ini atau tahun depan ? Ia tidak pasti, tetapi akan tetap berlaku satu masa nanti. Semuanya tidak kekal.

Kerana kerajaan terpaksa menyelamatkan jumlah subsidi yang mengalir sewenang-wenangnya ke atas beberapa komoditi, bahan bakar  dan perkhidmatan.

Misalannya, pemansuhan  ke atas subsidi diesel super bagi kapal  nelayan laut dalam, kenderaan limosine mewah dan sembilan kelas kenderaan perdagangan lain mampu menjimatkan kantung negara sebanyak 700 juta ringgit.

Inilah timbal balas yang sepatutnya diberikan oleh rakyat terhadap keikhlasan kerajaan selama ini. Langkah yang diambil amat pragmatik dan unik sekali.

Rintihan dan keluhan pelbagai pihak diambil ingatan, sekaligus menghindari tindakan buru-buruan,  walaupun hakikatnya beban yang digalas begitu berat sekali.

Kerana subsidi bukan diamalkan oleh semua negara termasuk negara-negara gergasi dan maju. Wajar pendedahan dan penjelasan diberikan kepada rakyat supaya memahami kekangan yang dihadapi kerajaan.

Kajian rasionalisasi sepertimana yang dibayangkan  perlu diteruskan.

Bagi rakyat kebanyakan pula, selain mensyukuri nikmat yang ada, perlulah berusaha sedaya upaya untuk berjimat cermat serta  meningkatkan produktiviti dan tabungan bagi mengatasi inflasi.

Secara tidak langsung senjata sendiri sudah dibekalkan untuk menghadapi sebarang kemungkinan sama ada soal kenaikan harga mahupun penampungan subsidi berkenaan.

Benar ia kekal hari ini, tetapi belum pasti esok hari.##


CALL OUT:

Bersama kita di talian ialah Encik Mohd Yusof Abdul Rahman, Pengarah Komunkasi FOMCA. 
 
1.       Bagi masyarakat ramai, sudah tentu pengumuman ini melegakan. Tapi bagi setengah yang lain mungkin sedikit mengecewakan, kerana tidak dapat menjadikan ia sebagai isu. Pandangan Encik Mohd Yusof.

2.       Soalnya, berapa lama tempoh yang difikirkan sesuai bakal diberikan untuk menaikkan harga bahan bakar itu sejak kali terakhir   penghujung tahun lalu. Bagaimana reaksi dan persediaan rakyat nanti?

3.     Ramai peniaga lain pula sudah pun mencongak-congak untuk mendapat keuntungan sebelum kenaikan dikuatkuasakan. Ini tentunya suatu tindakan yang tidak wajar?   

 
Baik itu tadi pandangan Encik Mohd Yusof Abdul Rahman. Sekian dahulu Koemntar Hari Ini. Esok kita akan bersua lagi dengan topik yang baru pula. Terima kasih dan kita kembali ke…

Kemelut Biasiswa JPA

KOMENTAR HARI INI
SELAMAT PAGI 1MALAYSIA EDISI 26 MEI
TAJUK: KEMELUT BIASISWA JPA
PEN. SKRIP & PENYELIDIK: SHARIFF AHMAD
PENERBIT SPM: ZAMZURI ZAWAWI
PENERBIT KHI: SAMIRA
PENERBIT PENYELARAS: ALEX REEZA
PENERBIT EKSEKUTIF: ROSLAN ARIFFIN

COMPERE 1:

Baik, jika semalam kita berbicara soal impian besar DAP menawan tiga negeri dengan menonjolkan calon Melayu sebagai bakal peneraju, hari ini kita beralih pula ke satu topik lain.

Ia berkaitan dengan  soal pengagihan biasiswa yang dikatakan tidak mengikut kriteria. Benarkah?

Ya, memang ukar untuk memuaskan hati semua pihak, apatah lagi dalam konteks dana atau peruntukan yang terbatas ini. Tetapi sudah tentu, ia tidak bermaksud untuk menafikan hak mana-mana individu.

Untuk itu, kita ikuti kupasan Komentar Hari Ini yang disediakan SHARIFF AHMAD bertajuk KEMELUT BIASISWA JPA…bersama Hisham Salleh. Silakan.

[[PENYAMPAI

Apa sebenarnya maksud yang tersirat di sebalik dakwaan MCA terhadap kemelut yang menyelubungi pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam?

Apakah ia bermaksud memperlihatkan rasa keprihatinan terhadap nasib para pelajar yang tidak mendapat tempat ataupun semata-mata mencari langkauan politik semasa?

Adakah kerana soal pengagihan tidak setara atau kerana didorong sentimen bangsa?

Kerana, sejak beberapa hari lalu, keluh kesah para pemimpin MCA diketuai Presidennya, Datuk Seri Chua Soi Lek dan Ketua Pemudanya, Datuk Dr. Wee Ka Siong agak mencuit perasaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Abdul Aziz.

Sewajarnya keluhan itu dibangkitkan pada platform yang sesuai, misalannya dalam mesyuarat kabinet, sidang parlimen ataupun setidak-tidaknya pada mesyuarat tertinggi BN.

Kerana ia adalah masalah konsensus yang seharusnya ditangani dengan bijak secara keluarga demi memelihara keharmonian bukan sahaja dalam kalangan kepimpinan parti bahkan jemaah menteri.

Sepertimana yang dilakukan oleh 4 menteri kabinet MCA yang ditugaskan untuk mengemukakan perkara itu pada mesyuarat jemaah menteri semalam. Barulah bermusyawarah namanya.

Maka itu, tidak hairanlah mengapa Datuk Seri Nazri, menteri yang bertanggungjawab hal berkenaan melenting kerana mendakwa ada saluran lain untuk mengemukakan teguran, bukannya media sebagai bantahan.

Namun, di sebalik itu, sejauh manakah kebenaran dakwaan berkenaan? Benarkah JPA sengaja melakukan kesalahan ? Memilih bulu dan bersikap pilih kasih.

Kononnya, para pelajar cemerlang yang memperolehi 12A ke 13A tidak diberikan peluang? Kursus pengajiannya pula tidak sesuai manakala ada pula yang diturunkan taraf sekadar pengajian peringkat diploma.

Juga ramai yang dihantar ke institusi tempatan, sedangkan universiti luar negeri menjadi idaman.

Malah, pertikaian utama ialah berhubung sesi temuduga yang dikendalikan terhadap 300 pelajar cemerlang. Kononnya mereka harus dipilih secara automatik berasaskan kelayakan akademik, bukannya kriteria sampingan seperti temuduga.

Tetapi, bukankah ia satu bentuk penilaian?. Demi memenuhi piawaian JPA terhadap calon-calon yang bakal ditempatkan dalam sektor perkhidmatan awam.

Apatah lagi temuduga pula dijalankantenaga profesional bagi menilai ketrampilan para peserta. Bukan dibuat secara tangkap muat semata-mata.

Justeru, calon-calon perlu bersedia menghadapi ujian bersemuka bukannya menyandarkan sepenuh harapan kepada kelayakan akademik sahaja. Kursusnya pula adalah bersifat kritikal yang amat diperlukan negara.

Selain kaedah pemilihan, apakah yang dimaksudkan dengan salah guna kuasa? Adakah kerana penawaran kursus yang tidak mengikut selera atau kerana komposisi pengagihan kaum yang tidak sekata ?

Pastinya yang dimaksudkan jurang pelajar bumiputera dan bukan bumiputera yang sering dijadikan ukuran. Benar, seperti kata Dr. Wee Ka Siong, ia bukan soal sentimen kaum, tetapi perlu ada asas berpaksikan kepada merit dan kelayakan.

Beliau mungkin memegang janji Perdana Menteri tahun  lalu bahawa mereka yang mendapat 8A+ ke atas, akan menerima biasiswa JPA.

Namun, sepertimana pinjaman dan biasiawa yang lain, ruang yang diberikan agak terbatas.  Tentu ada had, kuota dan peruntukan. Bukan semua orang berhak secara automatik. Dan, tentulah ada saringan dan penilaian.

Termasuk juga Dana Pendidikan MCA bernilai 30 juta ringgit yang sedang diwar-warkan bagi membantu para pelajar kurang berada. Tentunya ia tidak mampu memuaskan hati semua ? 

Dalam konteks biasiswa JPA,  peruntukan sedia ada sebanyak 4 ribu biasiswa bagi sesi pengajian tahun ini  melibatkan 1.44 bilion ringgit.

Daripada itu, 1.08 bilion ringgit untuk Program Ijazah Luar Negara sebanyak seribu lima ratus biasiswa dan 0.36 bilion ringgit lagi untuk Program Ijazah Luar Negara sejumlah dua ribu lima ratus biasiswa.         
 
Pembahagiannya pula mengikut beberapa aspek termasuk kuota kaum, kelayakan merit, pertuntukan Sabah Sarawak dan khusus untuk golongan kurang berada.

Dari seribu lima ratus biasiswa luar negeri, 618 diperuntukkan kepada bumiputera dan bakinya, 882 bukan bumiputera. Manakala dari dua ribu lima ratus biasiswa dalam negeri, 1,301 pelajar bumiputera dan 1,199 lain, bukan bumiputera.

Hakikatnya, JPA sebagai badan penyelia sudah pasti membuat yang terbaik berpandukan kepada mekanisme sedia ada.

Sudah pasti dalam proses itu, ada serba sedikit cacat cela, tetapi tidaklah sampai  peringkat menafikan hak serta meminggirkan mana-mana bangsa seperti didakwa.

Untuk memenuhi semua pihak pada suatu masa sudah tentu di luar bidang upaya. Hakikatnya, ia memerlukan suatu timbang tara.

CALL OUT:

Bersama kita di talian ialah Prof. Madya Sohaimi Abdul Aziz, pensyarah Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang.

1. Sekali lagi isu pemberian biasiswa JPA mencuri tumpuan. Benarkah berlaku salahguna kuasa oleh pihak JPA jika dakwaan MCA itu diambilkira. (Kononnya sesi temuduga sebagai penghalang, penawaran kursus yang tidak ikut selera dsb)

2. Mungkinkah kerana peruntukan yang disediakan itu didapati tidak besar dan terbatas sedangkan keperluannya semakin bertambah. Adakah isu ini dapat diselesaikan dengan pertambahan dana ?

3. Sudah ada kecenderungan yang tinggi dalam mendapatkan biasiswa JPA. Apakah ini bermaksud calon-calon begitu berminat untuk berkhidmat dalam sektor kerajaan atau kerana sekadar mahu memanfaatkan pemberian dan anugerah kerajaan?

Terima kasih Prof. Madya Sohaimi Abdul Aziz dari USM. Baik sekian dahulu Komentar Hari Ini. Insya Allah kita akan bersua lagi esok dengan topik yang baru pula.

Jerangkap Samar

KOMENTAR HARI INI
SELANMAT PAGI 1MALAYSIA EDISI 25 MEI
TAJUK: JERANGKAP SAMAR DAP
PEN. SKRIP & PENYELIDIK: SHARIFF AHMAD
PENERBIT SPM: SUE ARYANIE
PENERBIT KHI: AWANG OMAR
PENERBIT PENYELARAS: REEZA SHARIMAN
PENERBIT EKSEKUTIF: ROSLAN ARIFFIN

COMPERE

Sudah masuk hari ke sepuluh Komentar Hari Ini bersiaran sejak Isnin lalu. Pelbagai pandangan dan teguran diterima. Ini bermakna anda sentiasa bersama kami.

Semoga pandangan yang konstruktif akan menguatkan keazaman kami untuk terus berinteraksi dengan anda.

Baik jika semalam kita membicarakan soal cadangan demonstrasi dalam stadium, hari ini kita beralih ke topik lain pula. Ada kaitannya dengan soal politik semasa, iaitu rancangan halus untuk menguasai pilihanraya akan datang. Apa kisahnya?

Untuk itu, kita ikuti kupasan yang disediakan SHARIFF AHMAD, dengan tajuk JERANGKAP SAMAR DAP...bersama penyampai, ZALEHA.

[[PENYAMPAI

Pendedahan Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi kononnya wujud gerakan sistematik Parti DAP meletakkan calon-calon Melayu bagi menawan tiga negeri – Negeri Sembilan, Melaka dan Wilayah Persekutuan pada PRU 13, tidak harus dipandang sepi.

Kerana itulah impian setinggi gunung parti berkenaan setelah berjaya menguasai Pulau Pinang selain mentcatat prestasi memberangsangkan di Perak dan Selabngor pada pilihanraya lalu.

Ditambah pula dengan kejayaan di luar jangkaan – lebih sekali ganda pada Pilihanraya Negeri Sarawak baru-baru ini. Bekalan semangat paling berharga buatnya.

Lantaran, strateginya ialah untuk memperluaskan pengaruhnya di negeri-negeri berjiran itu dengan menampilkan calon-calon Melayu. Walaupun ia bukan suatu kelaziman kecuali beberapa kes terpencil dahulu.

Berdasarkan rekod lalu, Wilayah Persekutuan yang berada dalam lingkaran bandaraya sudah hampir dalam genggamannya. Sukar untuk ditandingi. Namun bagaimana pula Melaka dan Negeri Sembilan – kubu kuat BN sejak sekian lama?

Mampukah ia berkuasa memandangkan strateginya amat rapid an licik sekali ketika menguasai Pulau Mutiara. Adakagh BN akan menyerah mudah setelah mempelajari sesuatu pada pilihanraya lalu?

Apakah sebenarnya matlamat untuk membariskan calon-calon Melayu setelah menyedari betapa jarang sekali orang Melayu dan beragama Islam sanggup tampil ke hadapan. Tidak tergamak rasanya.

Namun, tidak lain tidak bukan untuk memperlihatkan ia bukan sebuah parti perkauman selepas merasakan sokongan kaum Melayu kian membesar.

Jika benar begitu, sanggupkah ia meletakkan calon Tionghua di kawasan majoriti Melayu. Jika berani, terhindarlah tanggapan kononnya ia sebuah parti rasis, cauvanistik dan perkauman kerana diterima ramai.

Hakikatnya, pelan tersirat itu sebenarnya untuk mempersiapkan kerangka besar menyediakan seorang bakal Menteri Besar jika ditakdirkan Perlembagaan negeri tidak membenarkan pemimpin bukan Melayu menerajui tampuk negeri.

Sekurang-kurangnya sudah ada calonnya dalam kalangan orang Melayu tidak sepertimana yang dihadapi tatkala memenangi Pilihanraya Umum 2008, khususnya di negeri Perak Darul Ridzuan.

Tidak syak lagi ia suatu muslihat untuk mengabui mata orang Melayu supaya menerima parti itu. Sekurang-kurangnya komposisinya seimbang bertujuan menumbangkan lawan.

Tidak kisahlah Menteri Besarnya Melayu asalkan kerajaan pembangkang dapat diteraju. Bagaikan memasang jerangkap samar, orang Melayu dijadikan ketua tetapi dimonopoli orang Cina. Siapa jerat siapa?

Hakikatnya, gerakan sulit sepertimana dakwaan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamalludin sudahpun dihidu dengan kemunculan mendadak para pengundi Tionghua di kawasannya sendiri, Rembau.

Bagaikan suatu “penghijrahan” sejak setahun lalu, bilangan pengundi baru dari Parlimen Seremban dan Rasah yang didominasi parti itu, mula bertapak di kawasan berkenaan.

Untuk tujuan apa? Tidak lain tidak bukan untuk mengagih-agihkan pengundi sama rata bagi memenuhi ruang-ruang kosong sekaligus memberi saingan sengit agar pilihanraya berpihak kepada Pakatan Pembangkang.

Susulan itu, bagaimana pula reaksi dari BN dan UMNO sendiri? Apakah ia telah bersedia menghadapi ujian dan cabaran baru ini dengan tindak balas baik dari segi tenaga, jentera dan strategi parti?

Malangnya, sikap sambil lewa sebahagian besar ahli-ahli parti yang dikatakan tidak begitu sensitif dengan daftar pemilih amat mengecewakan.

Misalannya, 18 peratus atau 120,000 ahli Pemuda UMNO di seluruh negara seperti dakwaan Khairy, masih belum berbuat demikian. Sehingga melabel mereka sebagai melakukan ‘dosa politik’

Sama juga dengan MIC, sepertimana yang dilaporkan Presidennya, datuk G. Palanivel, hamper 40 peratus daripada 700,000 ahlinya juga masih belum mendaftar. Membabitkan sekurang-kurangnya 280,000 orang.

Suatu angka yang amat kritikal kerana ia adalah penyumbang utama bagi memastikan kemenangan. Ditakdirkan pilihanraya sebulan dua lagi, tidakkah ia suatu tamparan buat BN. Jika ditakdirkan kecundang,  bukan kerana kehebatan lawan tetapi kelemahan dalaman.

Lantaran, mahu tidak mahu, langkah konkrit harus digerakkan oleh semua komponen parti untuk memastikan kesemua ahli yang bernaung di bawah bumbungnya menjadi pengundi.

Hakikatnya, apa guna bermegah dengan keramaian anggota jika tidak boleh turun pada pilihanraya? Menang jawatan dalam parti tapi tewas dalam pilihanraya, pun tiada maknanya.

Sama seperti muslihat DAP, jangan biar jerangkap samar memerangkap diri.

CALL OUT: Baik bersama kita di talian ialah Datuk Ruhanie Ahmad, bekas Ahli Parlimen Parit Sulong. Selamat pagi…dengar khabar Datuk sedang belajar lagi …di mana dan jurusan apa?

1. Jika benar dakwaan DAP mahu meletakkan calon-calon Melayu kononnya untuk menjadi Menteri Besar/Ketua Menteri, adakah ia akan mempengaruhi sentimen pengundi Melayu?

2.  Secara senyap-senyap DAP dikatakan mengatur langkah mengagih dan menempatkan pengundinya di tempat-tempat berpotensi. Dari segi moral, tentu tidak begitu wajar namun dari segi peraturan dan undang-undang, ia dibolehkan?

3. Sikap acuh tak acuh ahli-ahli UMNO dan BN berhubung daftar pemilih agak menggusarkan. Sepatutnya sebagai organisasi yang mantap dan cukup berpengalaman, perkara ini tidak berlaku?

Baik itu tadi pandangan Datuk Ruhanie Ahmad berhubung topik pagi ini. Insya Allah, kita akan membicarakan topik yang lain pula pagi esok. Jumpa lagi!

Demonstrasi Helah Lama

KOMENTAR HARI INI
SELAMAT PAGI 1MALAYSIA EDISI 24 MEI
TAJUK: DEMONSTRASI HELAH LAMA
PEN. SKRIP & PENYELIDIK: SHARIFF AHMAD
PENERBIT SPM: RAFIDAH KAMALUDDIN
PENERBIT KHI: AWANG OMAR  
PENERBIT PENYELARAS: REEZA SHARIMAN
PENERBIT EKSEKUTIF: ROSLAN ARIFFIN

COMPERE 1

Baik jika semalam kita berbicara tentang tragedi menyayat hati atas tajuk KETENTUAN ATAU KECUAIAN, hari ini kita beralih pula ke topik semasa yang lain.

Ia berkisar kepada soal demonstrasi jalanan yang mungkin tidak digemari oleh sebilangan kita.

COMPERE 2

Benar, demonstrasi bukan sahaja membataskan pergerakan orang ramai, bahkan turut menjejaskan perniagaan. Manakala imej negara juga turut terjejas, para pelancong enggan datang.

Untuk itu, apa kata kita ikuti kupasan Komentar Hari ini yang disediakan oleh Shariff Ahmad dengan tajuk “DEMONSTRASI HELAH NAMA” … 
 
[[PENYAMPAI

Demonstrasi dalam stadium, atau dalam erti kata lain, premis tertutup. Mungkin agak janggal bunyinya.

Kerana lazimnya, demonstrasi diadakan di ruang terbuka seperti di padang, gelanggang atau jalanraya.

Boleh sorak sorai, berteriak, jerit menjerit, laung melaung dan hayun tangan  sambil menarik perhatian penonton.

Tetapi kalau di dalam stadium dan bangunan tertutup, bukankah tidak seronok namanya? Melaung sesama sendiri tanpa pemerhati. Bagaikan tiada ummphh, kata anak muda.

Namun ini yang mahu diperkenalkan kerajaan setelah mendapati demonstrasi dan perarakan tidak membawa sebarang kebaikan. Asasanya ialah untuk ketenteraman awam.

Justeru, pindaan Akta sedang dilakukan untuk dibawa ke jemaah menteri dan seterusnya ke Parlimen untuk diperhalusi..

Seperti tegas Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein kelmarin,  masyarakat sudah bosan dengan demonstrasi jalanan.

Ia bukan sahaja menyusahkan tetapi juga mencetuskan huru hara dan rusuhan. Urusan harian tergendala, ruang niaga gagal.dibuka.

Lantaran, demonstrasi sekadar helah lama untuk menarik perhatian orang awam terhadap isu yang dibangkitkan, sekaligus memperlekehkan imej kerajaan di mata dunia bila berlaku tindak balas pasukan keselamatan.

Lihat sahaja demonstrasi jalanan yang kerap dianjurkan. Ia bukan sahaja tidak menepati peraturan, bahkan mengganggu ketenteraman awam. Laluan kenderaan tersekat, orang ramai resah dan penat.

Anggota keselamatan pula dipersalahkan kononnya bertindak di luar batasan. Sedangkan tindak tanduk mereka sebenarnya keterlaluan. Bukan sahaja tidak mematuhi peraturan tetapi juga melawan.

Tidak serik dengan itu, kini kedengaran pula rancangan menganjurkan Perhimpunan Raksaksa di ibu kota 9 Julai depan oleh Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil atau BERSIH.

Kononnya untuk membantah ketidakadilan dalam urusan pilihanraya negara. Pilihanraya mana ? Dahulu atau semasa?

Tiada demokrasi kononnya. Lantaran “Perjalanan Demokrasi” diberi nama.   

Sudah tentu, ia bakal menarik perhatian. Kerana kaedah pertemuan bukan sekadar perhimpunan, tetapi juga suatu perarakan. Bererti ada pergerakan antara laluan  dan tentulah bakal menyesakkan.

Malahan, Jawatankuasa Pusat PAS, Mohammad Sabu yang kini  nampaknya begitu ghairah turut berikrar, pihaknya akan berusaha keras menghimpunkan seratus ribu manusia.

Mungkin beliau mendapat semangat kerana dokongan kuat untuk menjadi orang nombor dua dalam parti pada Muktamar PAS 3 Jun ini. Gerakan yang dijalankan mungkin membantu beliau menyandang teraju.

Namun, persoalan pokoknya apakah rasional untuk menghimpunkan sebegitu ramai manusia? Benar, ia untuk menunjukkan kekuatan dan sokongan terutama dengan dokongan rakan-rakan sekutu.

Tetapi, tentunya bukan di jalanan sebaliknya dalam bangunan.

Apa matlamatnya? Berbanding Perhimpunan Golongan Belia seumpamanya dengan angka serupa hujung minggu ini di Putrajaya. Ada kira-kira, bukannya hentam keromo sahaja..     

Justeru, cadangan untuk membenarkan perhimpunan seumpamanya di dalam stadium atau bangunan adalah satu alternatif terbaik. Ia harus diberikan sokongan termasuk mereka yang gemar berdemonstrasi.

Keadaannya lebih kondusif,  gelanggangnya terbentang luas, tempat duduk dan parkir melaut, kemudahan semua ada manakala kawalan keselamatan juga terpelihara.

Tidak lagi mencetuskan perbalahan sama ada dengan kerajaan mahupun pasukan keselamatan.

Jeritlah sekuat-kuat hati sambil menuntut demokrasi.   
        
CALL OUT:

Baik bersama kita di talian ialah Prof. Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim, Sejarawan.

1.      Cadangan demonstrasi di stadium merupakan satu langkah yang baik supaya ia terkawal baik dari segi keselamatan dan  ketenteraman awam. Namun, apakah ia akan diterima oleh semua pihak? Pandangan Prof.

2.      Halangan yang mungkin timbul bukan sahaja dari segi kos. Misalannya untuk menyewa stadium sebesar Stadium Nasional Bukit Jalil. Tetapi  masalah birokratik mungkin akan dihadapi oleh penganjur. Soal permit dan kebenaran. Bagaimana?

3.   Demonstrasi terbaru anjuran BERSIH pada 9 Julai depan di lokasi yang belum dipastikan lagi. Ramai kononnya mahu menyertainya – khususnya rakan-rakan dalam Pakatan Pembangkang. Ia bagi meniupkan sentimen menjelang PRU akan datang. Wajarkah?

Baik terima kasih Prof. Sekian dahulu Komentar Hari Ini. Terima kasih atas perhatian anda.  Insya Allah, kita akan bersua lagi dengan topik yang lain pula.