Ahad, 10 Julai 2011

Penentu Hidup Mati


KOMENTAR HARI INI
SELAMAT PAGI 1MALAYSIA EDIS 29 MEI
TAJUK; PENENTU HIDUP MATI
SKRIP/PENYELIDIK;SHARIFF AHMAD
PENERBIT KHI; AWANG OMAR
PENERBIT SPM; RAFIDAH
PENERBIT PENYELARAS; ALEX REEZA
PENERBIT EKSEKUTIF; ROSLAN ARIFFIN
 
COMPERE 1:

Baik, walaupun tarikh pilihanraya umum ke- 13 masih lagi dalam teka teki, namun bahangnya semakin dirasakan di setiap hari..

Strategi dan perancangan disusun oleh setiap parti secara sulit mahupun terbuka. Masing-masing dengan matlamat tertentu.    

COMPERE 2;

Bagi BN pula, pilihanraya percubaan atau simulasi tidak lama lagi bakal dijadikan ukuran kemampuannya. Apa signifikannya?

Untuk itu, kita ikuti kupasan Komentar Hari Ini yang disediakan oleh SHARIFF AHMAD bertajuk ‘PENENTU HIDUP MATI” bersama Hisham Salleh.
 
[[PENYAMPAI

Apa yang tersirat di sebalik penegasan Datuk Seri Najib Tun Razak,  bahawa BN tidak terpengaruh cadangan parti pembangkang khususnya DAP untuk mengadakan pilihanraya umum negeri, secara berasingan?

Adakah beliau tidak kisah dengan  hasrat tersebut atau menganggap ia suatu langkah yang tak mungkin berlaku meskipun dari sudut perundangan dan perlembagaan ia dibenarkan?

Lebih-lebih lagi, cadangan yang dikemukakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak mendapat konsensus keempat-empat negeri tadbiran pembangkang.

Kecuali Selangor, Kedah dan Pulau Pinang, Kelantan di bawah pimpinan Dato’  Nik Aziz Nik Mat nampaknya secara terbuka menyanggah cadangan Setiausaha Agung DAP itu kononnya ia tidak begitu realistik.

Mungkin kerana faktor kos yang melambung tinggi jika pilihanraya diadakan berulang kali ataupun ada sebab lain.

Namun berdasarkan pengamatan Mursyidul Am PAS itu, ia suatu strategi yang boleh memakan diri.

Kerana, seperti sindiran beliau, “pelesit dan jembalang” akan  menyerang.

Mungkin beliau merujuk kepada gerombolan jentera BN yang bakal memberi sepenuh tumpuan kepada keempat-empat  negeri pembangkang jika ada pilihanraya berasingan.

Benar, seperti tegas Perdana Menteri, BN tidak perlu terikut-ikut dengan hasrat pembangkang kerana ia di luar kawalannya. Sebaliknya BN harus menyusun langkah sendiri menghadapi apa jua kemungkinan.

Daya tahan dan daya saing perlu diperkukuhkan. Matlamat memburu kemenangan mesti disertai dengan kesungguhan. Hayat parti mesti dipertahankan.

Persoalannya sudah adakah ciri-ciri ini untuk merobah imej dan identiti parti?  

Hakikatnya, persediaan mental dan fizikal perlu ditingkatkan mulai sekarang dalam kalangan keseluruhan jentera parti di segenap peringkat cawangan dan bahagian sedangkan tarikh besar sudah menghampiri..
 
Langkah mengadakan simulasi atau pilihanraya olok-olok Julai depan sepertimana diumumkan semalam suatu pendedahan yang amat berguna buat jentera BN. Ia suatu raptai atau latihan menjelang tanggal sebenar.   

Bukan sahaja ia dapat memastikan kelancaran tenaga, jentera  dan logistik di peringkat akat umbi bahkan pada masa sama mampu menilai penerimaan seteru politik khususnya mereka yang berada atas pagar.

Lantaran, simulasi yang bakal digerakkan harus mencakupi semua peringkat –-- baik negeri, bahagian mahupun cawangan dengan harapan para petugas dan pendokong parti dapat merasai gementar  PRU mendatang.

Bagi para pemimpin pula, kegiatan-kegiatan rutin termasuk jalan santai atau walkabout yang mendapat perhatian rakyat harus diteruskan. Amalan turun padang perlu kerap diadakan.

Matlamatnya untuk mendekati mereka sehingga terbit rasa kasih sayang secara semulajadi. Bukannya menunggu di saat akhir untuk berbakti. Ia harus dilakukan sekarang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan