Ahad, 10 Julai 2011

Terpedaya Logo Halal



KOMENTAR HARI INI
SELAMAT PAGI 1MALAYSIA EDISI 31 MEI
TAJUK; TERPEDAYA LOGO HALAL
SKRIP/PENYELIDIK; SHARIFF AHMAD
PENERBIT SPM; RAFIDAH KAMALUDIN
PENERBIT KHI; AWANG OMAR
PENERBIT PENYELARAS; ALEX REEZA
PENERBIT EKSEKUTIF; ROSLAN ARIFFIN
 
COMPERE 1:

Baik, jika semalam kita berbicara tentang penarikan semula  pembekuan pembantu rumah Indonesia, hari ini kita beralih ke topik yang lain pula.

Soal makanan halal seringkali menghantui urusan dan kehidupan masyarakat Islam.

COMPERE 2:

Anehnya, kemasukan barangan luar seringkali mengelirukan dengan tanda halal. Jika tidak diteliti, sudah tentu akan membawa kemudaratan kerana melanggari hukum syarak.

Bagaimana mahu menanganinya? Untuk itu kita ikuti kupasan Komentar Hari Ini yang disediakan oleh SHARIFF AHMAD dengan tajuk “TERPEDAYA LOGO HALAL”  
 
[[READER – WAN SYAHRINA

Namanya sahaja sudah agak janggal. “Bir Halal” !!!

Sepengetahuan umum, tidak ada minuman bir yang halal. Semuanya haram belaka. Air campuran buah-buahan seumpamanya pasti memabukkan.

Asalkan namanya bir, ia tentulah haram. Seperti juga khinzir dan dadah, tiada yang halal.

Namun, inilah yang terjadi di selatan tanahair apabila pihak berkuasa agama negeri Johor – JAJ melakukan pembongkaran setelah mendapati “bir halal” itu mengandungi 0.5 peratus bahan alkohol.

Sedangkan, sepertimana lazimnya, yang dibenarkan syariat Islam  ialah sekadar 0.01 peratus sahaja. Lantaran mana ada halal?

Mujur Jabatan Agama Johor bertindak pantas dan pro-aktif setelah menerima aduan orang ramai yang meragui kandungan minuman.

Ia dianalisis untuk mendapatkan kepastian sebelum sampelnya dikemukakan ke Jabatan Kimia. Hasil ujian makmal mendapati “bir halal” diperbuat dari perisa buah-buahan.

Mungkin agaknya ramuan buah anggur gred rendah. Itu sebab kandungan alkoholnya tidak begitu menyerlah. Antara mabuk dan sebaliknya. 

Susulan itu, apa yang harus dilakukan baik pihak berkuasa agama kebangsaan atau agensi-agensi penguatkuasaan termasuk Kastam Di Raja yang menjaga lukah negara?

Menariknya, minuman “bir halal” ini khabarnya sudah berada di pasaran sejak setahun yang lalu di kafe-kafe ternama secara berleluasa.  

Dalam tempoh itu, sudah berapa ramai umat Islam yang meneguknya? Jangan pakai hentam sahaja, perlu ada usul periksa. Syukur ia dapat dikesan lebih awal.

Dengan saiz kecil yang cantik ala botol cuka atau kicap, dan label negara Arab tertera dengan nyata, sudah pasti ia meyakinkan pelanggan Muslim seluruhnya..

Mungkin tulisan jawi yang terpapar menguatkan lagi keyakinan diri. Sehingga ia mampu membolosi pintu pemeriksaan tanahair tanpa rasa curiga.

Namun, pihak berkuasa kastam juga tidak boleh dipersalahkan. Kerana seperti barangan import lain, kemasukannya tidak boleh disekat asalkan ia mengikut peraturan. Apatah lagi dokumen kemasukannya lengkap.

Cuma kemusykilan yang timbul apakah produk tidak halal ini sengaja dieksport dari luar untuk mengabui mata pelanggan setempat. ? Mentelah pula harganya dalam jangkauan ramai, sekitar 3 hingga 5 ringgit.

Berbanding minuman bir lain yang lebih mahal harganya. Mungkin itu daya tarikan utama kepada pelanggan. Rasanya pula dikatakan amat berperisa, manis-manis buah. Sekali teguk, mahu dua.
  
Lantaran dalam hubungan ini, pengimport harus tampil ke hadapan, bertanggungjawab meleraikan kesamaran. Butiran lanjut harus diperolehi dari rakan koloborasinya di Timur Tengah.

Jika benar tidak disedari, ia mungkin boleh dimaafkan, namun jika sebaliknya pula, tiada jalan pintas yang boleh dihalalkan. Bukankah bersubahat namanya itu?

Hakikatnya, sekatan secara spontan harus dilakukan sepertimana yang bakal dikuatkuasakan oleh JAKIM berserta Majlis-Majlis Agama Negeri.

Kesan moralnya juga harus menimbulkan kesedaran. Kemungkinan banyak lagi kes seperti ini berlaku di depan mata, namun ia tidak disedari kerana masing-masing bersikap alpa dan sambil lewa.

Pemakaian logo halal juga harus ada sempadan. Tatkala usahawan bukan Islam kini begitu ghairah mendapatkan sijil halal dari JAKIM untuk dipamerkan.

Mungkin bagi maksud mengeksploit saiz kepenggunaan Islam yang ramai dalam pasaran industri halal yang dikatakan menjana ekonomi sebanyak 45 bilion setahun.

Namun, jangan kerana dibuai keghairahan angka dan perolehan, soal ketulenan dan kesahihan diHALALKAN.##   

CALL OUT:

Bersama kita di talian ialah Encik Mustapha Hamid, Pegawai Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia – PPIM.


1.  Mengapa agaknya perkara ini dikesan agak lewat setelah produk ini berada di pasaran sejak setahun lalu. Adakah kerana masyarakat Islam tidak ambil kisah, sedangkan istilah “bir halal” itu sendiri menimbulkan kemusykilan?

2.   Perkara serupa juga mungkin berlaku ke atas barangan lain yang diperbuat di negara ini. Tetapi kerana barangan itu dibalut dengan iklan dan logo yang menarik menyebabkan orang ramai terus terpedaya?

3.  Keghairahan usahawan bukan Islam untuk mendapatkan sijil halal mungkin membuktikan potensi besar produk halal bagi keperluan negara dan antarabangsa. Namun, jika tidak diawasi, ada kemungkinan akan berlaku penyelewengan?

Baik itu tadi pandangan Setiausaha PPIM Encik Mustapha Hamid, Pegawai Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia – PPIM. yang membicarakan topik pilihan  kita pagi ini. Insya Allah, kita akan bersua lagi esok dengan topik yang lain pula.    

Tiada ulasan:

Catat Ulasan