Khamis, 30 Jun 2011

Ketentuan Atau Kecuaian?

KOMENTAR HARI INI
SELAMAT PAGI 1MALAYSIA EDISI 23 MEI
TAJUK: KETENTUAN ATAU KECUAIAN
SKRIP/ PENYELIDIK: SHARIFF AHMAD
PENERBIT PENYELARAS: ALEX REEZA
PENERBIT EKSLUSIF: ROSLAN ARIFFIN

COMPERE :

Baik seperti lazimnya, kita akan membicarakan topik semasa dalam segmen Komentar Hari Ini bagi Edisi 23 Mei.

Dan tentunya, ia berkisar kepada tragedi yang amat memilukan kita semua, membabitkan anak-anak yatim piatu.

COMPERE 2:

Ya, memang tidak dinafikan ia sesuatu yang telah tertulis oleh Illahi. Namun, mana puncanya. Mampukah kita mengatasinya ?

Kita ikuti kupasan yang disediakan oleh Shariff Ahmad bertajuk “Ketentuan atau Kecuaian”…bersama penyampai…

[[READER

Setiap kali berlaku tragedi, rasa simpati dipamerkan segenap peringkat baik kepimpinan mahupun masyarakat awam.

Tenaga sukarela dikerahkan, doa diringkan manakala bantuan pula mencurah dihulurkan. Sekaligus mencuri perhatian.

Tidak lengkap dengan itu, pelbagai kenyataan pula disalurkan. Mungkin sebagai bukti keprihatinan. Setidak-tidaknya agensi dan jabatan turut mengambil bahagian.

Namun, dalam keghairahan itu, timbullah pelbagai takrifan. Kononnya, Rumah Anak-Anak Yatim Hidayah Madrasah At Taqwa FELCRA Semungkis Batu 14 Hulu Langat itu milik persendirian dan tidak berdaftar dengan pihak berkuasa kebajikan. Apa kaitannya?

Pembinaannya pula tidak dipastikan sama ada mengikut peraturan, termasuk permit dan pelan bangunan. Benarkah?

Dan ada pula andaian kononnya musibah itu boleh dielakkan, jika ia dilaporkan kepada pihak berwajib selepas ada petanda awal - berlaku rekahan kecil yang memberi amaran.

Mungkin ya, mungkin sebaliknya, kerana laporan lengkap belum diterima. Perlu ada suatu kepastian.

Tidak dinafikan apajua yang diluahkan itu mungkin ada kebenaran. Cuma ia tidak begitu sesuai tatkala para penghuni dan ahli-ahli keluarga mangsa sedang dirundung kesedihan. Sekurang-kurangnya berilah ruang untuk mereka bertenang.

Apakah yang lebih besar dan pentingnya memperhitungkan soal kecuaian daripada menyanggahi soal ketentuan ? Sedangkan roh dan jasad sudah berpergian.

Namun di sebalik itu, persoalannya yang harus direnungkan bersama ialah persediaan jangka panjang berhubung risiko pembinaan di sisi lereng dan curam.

Sudah acapkali amaran dan peringatan diberikan, namun ia seolah-olah dikesampingkan. Dari tempoh sembilan tahun dari 1993, 26 tanah runtuh berlaku membabitkan 130 nyawa.

Tidak ingatkah kita rentetan bencana di Bukit Antarabangsa, Ulu Yam Perdana, atau Tanah Rata. Dan tentunya tragedi Highland Towers yang menjadi igauan buat selama-lamanya? Ia bagaikan tidak meninggalkan kesan apa-apa.

Hakikatnya, setiap pembinaan di tepi bukit hendaklah dibuat mengikut kesesuaian dan keupayaan. Tanpa membelakangkan peri bahaya yang boleh mengancam nyawa.

Dalam tragedi terbaru ini, umum menyedari betapa bukit yang berlatarbelakangkan pusat itu hanya tidak sampai 35 meter jaraknya, manakala ketinggiannya pula 40 meter mendongak di atas kepala. Tentulah terdedah kepada malapetaka.

Pasti ada pro dan kontra sebelum keputusan membinanya dibuat dahulu. Pertimbangkanlah semuak-muaknya sebarang bentuk pembinaan meskipun tanah yang dimiliki mungkin diwakaf, disumbangkan atau dibeli dengan kos sederhana.

Pandangan pelbagai pihak terutamanya pihak berkuasa tempatan dan bahagian geoteknik dan pakar bukit dan curam harus dijadikan rujukan dan pedoman.

Sebaik mungkin hindarilah sebarang hasrat untuk membina bangunan di tepi lereng dan curam yang membahayakan. Kerana kita tidak tahu apa yang berlaku setiap kali hujan tiba. Pusaran tanah mengganas tanpa sebarang petanda.

Untuk menyalahkan mangsa kononnya tidak membuat laporan segera juga tidak begitu wajar kerana mereka bukannya pakar.

Bagi pihak berkuasa JKR pula, sudah sewajarnya tindakan susulan memeriksa kestabilan tanah yang sedang dilakukan, mecakupi semua kawasan berisiko di sekitar Hulu Langat dan Ampang jika benar terdapat sebarang keraguan.

Kawasan kediaman seperti Taman Bukit Teratai, Cheras Baru, Taman Mega dan sebagainya yang berada dalam lingkaran bukit beralun perlu juga menjalani pemeriksaan.

Kesediaan jabatan itu untuk membuat pemeriksaan terhadap kepada tuan punya termasuk tanah persendirian amat dialu-alukan supaya risiko besar dapat dihindarkan. Tidak perlu ada pengkelasan jika nyawa rakyat hendak diselamatkan.

Apajua, tragedi menyayat hati ini harus membuka minda kita semua untuk sama-sama menanganinya. Tidak perlu menuding jari untuk memberi alasaan.

Sama ada ketentuan atau pun kecuaian, ia harus diterima dengan penuh keinsafan.##

CALL OUT;

Bersama kita di talian ialah Prof. Dr. Roslan Zainal Abidin,
Pengarah Pusat Penyelidikan Tanah Runtuh Negara
UiTM.

1. Nampaknya, perkara sama berulang lagi. Mungkinkah masyarakat masih tidak memahami akan risiko membina bangunan di tepi lereng dan bukit, bukannya sengaja. Perlu ada pendedahan sewajarnya oleh pihak berkuasa?

2. Selain hujan, apakah ada faktor-faktor lain yang menyumbang kepada pergerakan tanah misalannya pembinaan yang keterluan di sekitar kawasan, kerja-kerja pembaikan, sehingga ia menjadi stabil?

3. Dikatakan juga bahawa soal pemantauan oleh pihak berkuasa tidak lengkap kerana kekurangan tenaga khususnya pakar, serta peralatan dan kelengkapan. Mungkin tragedi berlaku sekali sekala?

Baik terima kasih. Prof. Dr. Roslan Zainal Abidin, Pengarah Pusat Penyedlikan tanah Runtuh Negara,. UiTM. Sekian dahulu Komentar Hari Ini. Kita ketemu lagi esok dengan topik yang lain pula.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan