Khamis, 30 Jun 2011

Demonstrasi Helah Lama

KOMENTAR HARI INI
SELAMAT PAGI 1MALAYSIA EDISI 24 MEI
TAJUK: DEMONSTRASI HELAH LAMA
PEN. SKRIP & PENYELIDIK: SHARIFF AHMAD
PENERBIT SPM: RAFIDAH KAMALUDDIN
PENERBIT KHI: AWANG OMAR  
PENERBIT PENYELARAS: REEZA SHARIMAN
PENERBIT EKSEKUTIF: ROSLAN ARIFFIN

COMPERE 1

Baik jika semalam kita berbicara tentang tragedi menyayat hati atas tajuk KETENTUAN ATAU KECUAIAN, hari ini kita beralih pula ke topik semasa yang lain.

Ia berkisar kepada soal demonstrasi jalanan yang mungkin tidak digemari oleh sebilangan kita.

COMPERE 2

Benar, demonstrasi bukan sahaja membataskan pergerakan orang ramai, bahkan turut menjejaskan perniagaan. Manakala imej negara juga turut terjejas, para pelancong enggan datang.

Untuk itu, apa kata kita ikuti kupasan Komentar Hari ini yang disediakan oleh Shariff Ahmad dengan tajuk “DEMONSTRASI HELAH NAMA” … 
 
[[PENYAMPAI

Demonstrasi dalam stadium, atau dalam erti kata lain, premis tertutup. Mungkin agak janggal bunyinya.

Kerana lazimnya, demonstrasi diadakan di ruang terbuka seperti di padang, gelanggang atau jalanraya.

Boleh sorak sorai, berteriak, jerit menjerit, laung melaung dan hayun tangan  sambil menarik perhatian penonton.

Tetapi kalau di dalam stadium dan bangunan tertutup, bukankah tidak seronok namanya? Melaung sesama sendiri tanpa pemerhati. Bagaikan tiada ummphh, kata anak muda.

Namun ini yang mahu diperkenalkan kerajaan setelah mendapati demonstrasi dan perarakan tidak membawa sebarang kebaikan. Asasanya ialah untuk ketenteraman awam.

Justeru, pindaan Akta sedang dilakukan untuk dibawa ke jemaah menteri dan seterusnya ke Parlimen untuk diperhalusi..

Seperti tegas Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein kelmarin,  masyarakat sudah bosan dengan demonstrasi jalanan.

Ia bukan sahaja menyusahkan tetapi juga mencetuskan huru hara dan rusuhan. Urusan harian tergendala, ruang niaga gagal.dibuka.

Lantaran, demonstrasi sekadar helah lama untuk menarik perhatian orang awam terhadap isu yang dibangkitkan, sekaligus memperlekehkan imej kerajaan di mata dunia bila berlaku tindak balas pasukan keselamatan.

Lihat sahaja demonstrasi jalanan yang kerap dianjurkan. Ia bukan sahaja tidak menepati peraturan, bahkan mengganggu ketenteraman awam. Laluan kenderaan tersekat, orang ramai resah dan penat.

Anggota keselamatan pula dipersalahkan kononnya bertindak di luar batasan. Sedangkan tindak tanduk mereka sebenarnya keterlaluan. Bukan sahaja tidak mematuhi peraturan tetapi juga melawan.

Tidak serik dengan itu, kini kedengaran pula rancangan menganjurkan Perhimpunan Raksaksa di ibu kota 9 Julai depan oleh Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil atau BERSIH.

Kononnya untuk membantah ketidakadilan dalam urusan pilihanraya negara. Pilihanraya mana ? Dahulu atau semasa?

Tiada demokrasi kononnya. Lantaran “Perjalanan Demokrasi” diberi nama.   

Sudah tentu, ia bakal menarik perhatian. Kerana kaedah pertemuan bukan sekadar perhimpunan, tetapi juga suatu perarakan. Bererti ada pergerakan antara laluan  dan tentulah bakal menyesakkan.

Malahan, Jawatankuasa Pusat PAS, Mohammad Sabu yang kini  nampaknya begitu ghairah turut berikrar, pihaknya akan berusaha keras menghimpunkan seratus ribu manusia.

Mungkin beliau mendapat semangat kerana dokongan kuat untuk menjadi orang nombor dua dalam parti pada Muktamar PAS 3 Jun ini. Gerakan yang dijalankan mungkin membantu beliau menyandang teraju.

Namun, persoalan pokoknya apakah rasional untuk menghimpunkan sebegitu ramai manusia? Benar, ia untuk menunjukkan kekuatan dan sokongan terutama dengan dokongan rakan-rakan sekutu.

Tetapi, tentunya bukan di jalanan sebaliknya dalam bangunan.

Apa matlamatnya? Berbanding Perhimpunan Golongan Belia seumpamanya dengan angka serupa hujung minggu ini di Putrajaya. Ada kira-kira, bukannya hentam keromo sahaja..     

Justeru, cadangan untuk membenarkan perhimpunan seumpamanya di dalam stadium atau bangunan adalah satu alternatif terbaik. Ia harus diberikan sokongan termasuk mereka yang gemar berdemonstrasi.

Keadaannya lebih kondusif,  gelanggangnya terbentang luas, tempat duduk dan parkir melaut, kemudahan semua ada manakala kawalan keselamatan juga terpelihara.

Tidak lagi mencetuskan perbalahan sama ada dengan kerajaan mahupun pasukan keselamatan.

Jeritlah sekuat-kuat hati sambil menuntut demokrasi.   
        
CALL OUT:

Baik bersama kita di talian ialah Prof. Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim, Sejarawan.

1.      Cadangan demonstrasi di stadium merupakan satu langkah yang baik supaya ia terkawal baik dari segi keselamatan dan  ketenteraman awam. Namun, apakah ia akan diterima oleh semua pihak? Pandangan Prof.

2.      Halangan yang mungkin timbul bukan sahaja dari segi kos. Misalannya untuk menyewa stadium sebesar Stadium Nasional Bukit Jalil. Tetapi  masalah birokratik mungkin akan dihadapi oleh penganjur. Soal permit dan kebenaran. Bagaimana?

3.   Demonstrasi terbaru anjuran BERSIH pada 9 Julai depan di lokasi yang belum dipastikan lagi. Ramai kononnya mahu menyertainya – khususnya rakan-rakan dalam Pakatan Pembangkang. Ia bagi meniupkan sentimen menjelang PRU akan datang. Wajarkah?

Baik terima kasih Prof. Sekian dahulu Komentar Hari Ini. Terima kasih atas perhatian anda.  Insya Allah, kita akan bersua lagi dengan topik yang lain pula.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan