Rabu, 15 Jun 2011

Belia Cincai?

KOMENTAR HARI INI
SELAMAT PAGI MALAYSIA EDISI 17 MEI
TAJUK: BELIA CINCAI?
PEN. SKRIP & PENYELIDIK; SHARIFF AHMAD
PENERBIT SPM: RAFIDAH KAMALUDIN
PENERBIT KHI: SAMIRA
PENERBIT PENYELARAS: ALEZ REEZA
PENERBIT EKSEKUTIF: ROSLAN ARIFFIN

COMPERE:

Seperti biasa, kita mulakan segmen awal pagi ini dengan Komentar Hari Ini, yang mengupas topik-topik semasa.

Kebetulan pula, bulan Mei ini dipenuhi dengan pelbagai sambutan dan perayaan.

Ya, jika semalam kita membicarakan soal halatuju kerjaya perguruan, hari ini pula, kita Beralih pula kepada kumpulan yang tidak kurang pentingnya iatu Belia.

Benarkah mereka bersikap sambil lewa, dan membuat asal ada sahaja. Untuk itu, ikuti ulasan yang disediakan oleh Shariff Ahmad bertajuk ‘BELIA CINCAI?….bersama Wan Shareena.    

[[PENYAMPAI

Perkataan “cincai” dikatakan berasal dari Bahasa Hokkien yang membawa maksud tidak lengkap atau tidak begitu sempurna. Budaya yang rendah martabatnya.

Lazimnya, ia menyimpulkan kepada sikap, amalan  dan pekerti manusia. Kononnya tiada kesungguhan. Membuat sesuatu kerja bagaikan acuh tak acuh. Ibarat melepaskan batuk di tangga.

Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila merumuskan kegagalan sesetengah golongan belia dalam memburu kejayaan ketika melancarkan Hari Belia Negara 2011.

Sikap sambil lewa yang ditunjukkan belia sudah pasti tidak membawa mereka  ke mana. Mereka akan tersekat di pertengahan jalan, bukan kerana tiada kemampuan, sebaliknya kerana kurangnya tumpuan.

Masakan mereka mampu meraih kejayaan cemerlang sekiranya pendekatan masing-masing hanya sekadar “cukup makan”. Ibarat asal ada sahaja, tanpa suatu komitmen yang nyata.

Buat kerja secara ala kadar sahaja sebagai pelengkap jadual tanpa halatuju yang jelas. Dalam kamus masing-masing tidak timbul rasa segan dan malu, kecewa mahupun sedih kerana apa yang dilalui kononnya adalah perkara biasa.

Ditambah pula semangat patriotisme dan kesukarelawanan yang rendah, sekaligus mencetuskan kegusaran yang amat sangat ke atas masa depan belia negara.   

Ini yang mungkin  dikhuatiri bukan sahaja oleh Tan Sri Muhyiddin, bahkan kepimpinan negara yang rata-ratanya menyandarkan harapan setinggi gunung terhadap golongan belia.

Masakan tidak, kerana golongan belia mewakili separuh dari komposisi penduduk negara ini. Bayangkan, apa akan berlaku kepada negara jika sebahagian daripada 12.5 juta belia yang ada bersikap pasif dan negatif.
  
Sudah pasti, negara akan ketinggalan jauh di belakang kerana ia bakal dikemudikan oleh barisan pelapis yang lemah baik dari segi akal budi, pengetahuan dan kemahiran serta ciri-ciri kepimpinan terpuji.

Sedangkan, landasan terbaik sudah diasaskan oleh kepimpinan hari ini untuk membolehkan golongan belia mewarisi tahap kecemerlangan separas dengan kemajuan masakini.

Hakikatnya, bilangan kaum belia dalam kumpulan usia 15 – 40 tahun telah meningkat dari 11.1 juta pada tahun 2005 kepada 11.9 juta pada tahun 2009. Angka ini kian meningkat pada saban tahun.

Namun, persoalannya, apakah kita hanya berbangga dengan peratus pertambahan sahaja, sedangkan nilai dan kualiti belia berada di paras yang tidak memberangsangkan.

Objektif pembangunan belia sepertimana yang digariskan dalam RMK 10 ialah untuk melahirkan golongan belia yang berkebolehan dalam bidang kemahiran, keusahawanan dan kepimpinan.       

Tetapi, bagaimana hasrat itu dapat ditepati jika ketahanan dan jatidiri belia sering dipertikaikan ?  Mereka seolah-olah berada di zon selesa.

Namun, di sebalik itu, mengapakah berlaku pendekatan ini. Adakah ia disebabkan kerana kurangnya tumpuan diberikan terhadap pembangunan belia dibandingkan dengan cabang kesukanan?

Tidak dinafikan, sering kedengaran perbelanjaan jutaan ringgit disalurkan untuk program kesukanan tetapi begitu sedikit pula diberikan untuk urusan pertubuhan belia meskipun kedua-duanya bernaung di bawah bumbung yang sama.

Mungkin, ukuran kejayaan dibuat lebih berpandukan kepada rangkaian projek fizikal seperti stadium dan gelanggang berbanding dengan program kepimpinan dan insaniah.

Sedangkan, pertubuhan belia yang memayungi ribuan anggota perlu mendapatkan perhatian yang saksama kerana mereka juga bertanggungjawab membentuk keperibadian para remaja

Apatah lagi kerajaan sendiri mensasarkan angka pertubuhan belia akan memuncak sekali ganda dari 5,000 kerpada 11,500 dalam RMK 10.

Apakah kita hanya berpuas hati dengan soal kuantiti sahaja tanpa memikirkan soal kualiti? 
    
Maka amat perlu, tumpuan dan perimbangan yang saksama diberikan dalam konteks membentuk keperibadian setiap pemimpin dan anggota belia supaya mereka  dapat meneruskan kesempurnaan nilai kepimpinan.

Benar, tidak dinafikan golongan belia hari ini begitu vokal dan kritis dalam melontarkan idea, pandangan dan teguran.

Namun, menjadi tanggungjawab kita baik di peringkat kepimpinan dan para pentadbir untuk memandu mereka secara berhemah. Biar lantang dan kritis asalkan ia konstruktif dan mampu menyumbang kepada kebaikan negara.

Apapun, matlamat kita ialah untuk melihat barisan belia yang serba progresif, cerdas dan tangkas, rajin dan positif,   menggalas tanggungjawab bersama  -- ibarat aur dan tebing saling berganding bahu   demi membina negara tercinta.

Menerap kesempurnaan sejati – itu pegangan belia masakini.

Baik saudara, di talian sekarang kita bersama dengan Dato’ Ir. Mohizan Ibrahim, Naib Presiden Majlis Belia Malaysia ( MBM).

1.         Banyak ruang yang  diberikan kepada golongan belia – dari peringkat persekolahan hinggalah ke pusat pengajian tinggi. Namun, budaya cincai terus diamalkan. Mengapa?
         
2.    Apakah benar tumpuan yang tidak sekata antara cabang kesukanan dan pembangunan belia menyebabkan wujud jurang pemisah terutama dalam konteks membentuk kepimpinan generasi muda ?

3.         Matlamat menghimpunkan sejuta belia di Putrajaya selama 3 hari mulai 27 Mei   ini mungkin satu manifestasi tersendiri buat MBN dan kementerian. Mampukah ia tercapai?

Terima kasih. Itu tadi  Ir. Mohizan Ibrahim Naib Presiden MBM. Semoga kupasan dan maklumbalas itu tadi dapat menyemarakkan semangat  belia sekalian untuk terus berbakti kepada negara. Sekian Komentar Hari Ini. Jumpa lagi esok.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan