Ahad, 10 Julai 2011

Penjadualan Berhemah


KOMENTAR HARI INI
SELAMAT PAGI 1MALAYSIA EDISI 1/6
TAJUK; PENJADUALAN BERHEMAH
SKRIP/PENYELIDIK; SHARIFF AHMAD
PENERBIT SPM; SUA ARYANIE
PENERBIT KHI; AWANG OMAR
PENERBIT PENYELARAS; ALEX REEZA
PENERBIT EKSEKUTIF; ROSLAN ARIFFIN
 
COMPERE 1;

Banyak yang memperkatakan susulan kenaikan tarif elektrik yang sudahpun berkuatkuasa tengahmalam tadi.

Ada yang menyahut positif dan menerima kenyataan, tetapi ada pula yang merungut dan menyatakan bantahan.
 
COMPERE 2;

Namun, pelbagai insentif dan pelan pengimbang diperkenalkan mengiringi pengumuman itu. Yang pentingnya ialah pendekatan kita semua menghadapi cabaran itu.

Apa yang harus dilakukan ? Untuk itu, kita ikuti kupasan bertajuk ‘PENJADUALAN BERHEMAH” yang disediakan oleh SHARIFF AHMAD….bersama penyampai ZALEHA. Silakan.
 
[[READER

Tidak banyak yang boleh dilakukan lagi susulan kenaikan tarif elektrik domestik, komersial dan industri sebanyak 2.23 sen  per sekilowat sejam, sepertimana yang dimumkan. Semuanya sudah dimuktamadkan.

Kerana ia bukannya suatu khabar baru sebab langkah  semakan semula telahpun kedengaran sejak beberapa bulan lalu ekoran kenaikan harga gas bagi sektor tenaga. Harus diterima dengan terbuka.

Hakikatnya, sumber gas asli semakin meningkat -– dari serendah RM10.70 setiap juta termal British (MMBtu)  kepada RM13.70.

Pun, kenaikan itu dikatakan masih lagi rendah berbanding dengan negara-negara jiran lain, misalannya Thailand RM18.23, Indonesia RM21.04 dan Singapura RM43.32.

Jika tidak, sudah pasti tarif elektrik negara akan meningkat lebih tinggi. Mujur, kenaikan itu tidak menjejaskan ramai individu kecuali para peniaga dan pengusaha yang mengguna elektrik berlipatganda.   

Lantaran, mahu tidak mahu, kita harus menerima kenyataan bahawa, kenaikan tidak dapat dielakkan. Walaupun masih lagi kedengaran bantahan dan sungutan pelbagai pihak termasuk dari para penyokong kerajaan.

Kononnya ia membebankan rakyat ekoran kemungkinan kenaikan barangan, manakala kadar inflasi pula dikatakan sukar dibatasi. Persoalannya, jika tidak hari ini, lambat laun terepaksa juga dilalui.

Hakikatnya, ia sesuatu yang tidak dapat dibendung jika pelan pengimbang tidak dilakukan. Sama juga dengan proses rasionalisasi subsidi yang kerapkali difikirkan oileh kerajaan.   

Umum menyedari, semakan penyelarasan perlu dibuat setiap enam bulan sekali. Kali terakhir penetapan tarif dua tahun lalu sebanyak 3.7 peratus. Kebetulan, ketika itu ia menurun berbanding sebelumnya selepas harga gas merudum.

Tetapi kali ini, seperti semakan tahun 2006, ia naik sedikit kepada 7.12 peratus bersamaan 33.54 sen setiap kilowat sejam.

Lantaran, langkah paling berkesan ialah melancarkan kempen “austerity” yakni berjimat cermat di semua peringkat sepertimana ketika negara berdepan cabaran inflasi lewat tahun 80an dahulu.

Baik pengguna secara individu, mahupun sektor lain termasuk perusahaan dan industri, institusi pengajian, kilang dan pertubuhan amnya, perlu mempunyai piagam penjimatan tenaga.

Malahan, jabatan dan agensi kerajaan juga tidak terkecuali. Penggunaan tenaga harus diminimumkan, lampu jalan dikurangkan manakala majlis-majlis resepsi berupa “makan-makan” dan hiburan disingatkan.

Semuanya bertujuan memandu rakyat supaya mengurus hal ehwal harian secara berhemah dengan harapan bil letrik tercatat sepaling rendah. Pembaziran tidak akan berlaku, sekaligus mampu mengimbangi kos pengurusan yang melulu.

Bagi para pengusaha terutama yang terlibat dengan pengeluaran makanan dan barangan serta perkhidmatan pula, jangan sekali-kali  mengambil kesempatan menaikkan harga. Jika sudah berikrar, ia harus dikotakan.

Kerana kesannya tidaklah seberapa jika dibandingkan dengan perolehan yang diterima.

Bagi pengeluar tenaga baik syarikat berkaitan kerajaan seperti TNB dan loji persendirian dan bebas ( IPP), mereka harus mempunyai pelan jangka panjang untuk memanfaatkan  pendapatan tambahan susulan perkembangan ini.

Bukan sahaja memperbaiki infrastruktur membabitkan pelarasan tenaga mengikut keperluan semasa, malah lebih dari itu merencana secara serius ke arah menyumbang kepada pengeluaran tenaga yang diperbaharui (renewable energy - RE).

Tentunya dalam hubungan ini, ia tidak lagi bergantung kepada sumber konvensional termasuk gas, arang batu dan fosil  tetapi bahan-bahan kitaran lain khususnya dalam lingkaran teknologi hijau.  Begitu juga solar, angin dan biomas.

Rancangan futurisitik perlu direncanakan supaya kebergantungan terhadap sumber-sumber yang semakin menipis, dapat diatasi.

Hakikatnya, semua pihak harus mengambil iktibar, dan bersikap optimis dalam menghadapi cabaran seumpamanya. Benar, kenaikan tidak dapat dielakkan, namun tindak balas positif perlu dating dari kita sendiri.   

Penjadualan berhemah mampu mengimbanginya##
    
CALL OUT;

Baik, bersama kita di talian ialah Tuan Hj. Badaruddin Mahyuddin, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.
 
1. Walaupun penjelasan telah diberikan bagi maksud   menjustifikasikan  kenaikan tarif elektrik ini, namun masih kendengaran rungutan dan bangkangan dari pelbagai peringkat masyarakat. Mengapa ia berlaku ?

2.  Ada pula yang mendakwa, TNB dan IPP yang lain mencapai keuntungan, tetapi mengapakah semakan kenaikan tarif ini diperlukan ?

3.   Dari segi pelan jangka panjang, apakah pengeluar tenaga baik TNB mahupun syarikat-syarikat persendirian ini cenderung untuk mempelbagaikan sumbernya jika ia mampu mengurangkan kos operasi sekaligus menurunkan tarif ?. 

Baik itu tadi Tuan Hj. Badaruddin Mahyuddin, TKSU Kementerian Tenaga, Teknolgi Hijau dan Air. Sekian dahulu Komentar Hari Ini. Kita bersua lagi esok dengan topik yang lain pula. Kembali kepada…##


Tiada ulasan:

Catat Ulasan