Khamis, 30 Jun 2011

Berulang Episod 1995

KOMENTAR HARI INI
SELAMAT PAGI 1MALAYSIA EDISI 28 MEI
TAJUK; BERULANG EPISOD 1995.
SKRIP/PENYELIDIK; SHARIFF AHMAD
PENERBIT SPM; SUE ARYANIE
PENERBIT SPM; AWANG OMAR
PENERBIT PENYELARAS;ALEX REEZA
PENERBIT EKSEKUTIF; ROSLAN ARIFFIN.

COMPERE

Baik saudara, sudah lama dunia bolasepak tanahair tidak diresapi dengan perkara-perkara negatif.

Sepertimana yang berlaku di sesetengah negara, sehinggalah kita menerima khabar buruk mengenai peristiwa yang membabitkan skuad Piala Presiden Negeri Sembilan semalam.    

Benar, rasuah bukan terbatas di padang sahaja, malah dalam persatuan sendiri. Seperti Qatar yang didakwa menggunakan habuan untuk membida tuan rumah Piala Dunia 2022.

Namun, mengapa mesti menggunakan jalan pintas untuk mengecapi kesenangan jika  sukan bolasepak itu sendiri sudah memberi segala-galanya.

Kita ikuti kupasan Komentar Hari Ini bertajuk “berulang Episod 1995” yang ditulis OLEH Shariff Ahmad.

[[PENYAMPAI

Belumpun sampai seminggu pengesahan pihak polis kononnya Liga Bolasepak Malaysia bersih dan selamat dari perjudian, timbul pula episod mengejutkan di Negeri Sembilan.

Kononnya berlakunya kegiatan mengatur perlawanan dalam skuad Piala Presidennya. Pasukan senior dalam Liga Super juga disangsikan. 

Ramai yang menjangkakan bila Pengarah Keselamatan Dalam  Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Rashid membuat rumusan, segala-galanya aman.

Apa tidaknya, penilaian polis dibuat bukan sekadar siasatan dalaman bahkan turut mendapat bantuan FIFA, badan tertinggi bolasepak dunia.

Kenyataan itu pula dibuat tatkala kunjungan Ketua Keselamatan FIFA, Chris Eaton bersama anggota delegasi dalam satu sesi taklimat di Wisma FAM Kelana Jaya.

Tentulah beliau kini pelik dan hairan apabila aduan dikemukakan Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan – PBNS berhubung gejala rasuah yang melanda pasukan remaja negeri beradat itu sejak tahun lalu.

Seingat beliau, perjalanan bolasepak negara tenteram selepas berdepan “penyakit kanser” 1995 yang menyaksikan sebilangan pemain digantung dan dibuang daerah kerana pembabitan dalam kegiatan tidak bermaruah.

Rupa-rupanya selepas 15 tahun, episod lama berulang kembali.

Bukan sahaja para pemain bahkan pihak pengurusan. Malahan, memetik kata-kata Presiden PBNS, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan, unsur negatif juga mungkin berlaku dalam pasukan Liga Super.

Apa tidaknya, Negeri Sembilan yang pernah muncul juara Piala Malaysia serta Piala FA tiba-tiba terperosok di tangga bawah. Dengan berbaki hanya 5 lagi perlawanan, ia ketinggalan jauh di belakang di tangga  ke 9 dari 14 pasukan.

Manakala Pasukan remajanya pula yang pernah muncul juara Piala Presiden pada 2001/2002 juga kelihatan tidak bermaya.

Apa sudah jadi dengan “Hobin Jang Hobin ? Dengan segala kemudahan dan kemewahan yang dikecapi, adakah ini bentuk balasan yang diberi. Tukar jurulatih pun tidak banyak membawa perubahan.

Tidak hairanlah mengapa Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan naik berang. Kerana beliau mengatur segala-galanya untuk pasukan negeri, termasuk ganjaran dan kebajikan.

Sebab itu Menteri Besar disandarkan harapan supaya para pemain tidak kelaparan.

Khabarnya, perbelanjaan membayar gaji sahaja mencecah 300 ribu ringgit sebulan. Namun, lain pula yang diatur segelintir individu dalam pasukan yang agak mabuk dengan habuan.

 “Orang main bola, pakai keting, dia pakai lutut,” sindir Dato’ Seri Mohamad. “Kalau gitu, baiklah pakai orang Kuala Sawah atau Kundur Ulu sahaja.

Dengan lain perkataan, tidak ada sebab mengapa pemain harus menyimpang jauh jika ganjaran yang diperolehi dari majikan sudah berpada. Tidak adil rasanya jika dinilai dari segi balasan dan pengorbanan.

Persoalannya sekarang, apakah episod itu melanda skuad Negeri Sembilan sahaja ? Tidakkah pasukan lain terancam sama ?

Inilah teka teki yang harus dijawab oleh setiap pasukan negeri. Ibarat air tenang jangan di sangka tiada buaya, pemantauan menyeluruh perlu diberi. Amalan buruk harus dijauhi.  

Lazimnya, sindiket judi mempunyai jaringan yang rapi dan bergerak di setiap negeri. Tentulah dari segi logiknya, mereka mempunyai “kaki” baik dalam pasukan mahupun jaringan antara negeri.   

Tindakan konkrit harus dijalankan untuk membanteras gejala tidak sihat supaya ia tidak berakar umbi sehingga menyebabkan imej bolasepak tanahair tercalar sekali lagi.

Langkah yang diambil PBNS di bawah naungan Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan harus dicontohi, walaupun hakikatnya ia ibarat makan mati emak, luah mati bapa. Dalam keadaan serba salah.    

Hakikatnya, tindakan dari dalam lebih membawa makna daripada membiarkan ia bermaharajalela setelah penyakit kecil menjadi kanser.

Jangan ulangi epsiod hodoh ini.

CALL OUT:

Baik bersama kita di talian ialah YAB Dato’ Seri Utama Hj. Mohamad Hj. Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Presiden PBNS.

Assalamualaikum Dato’ Seri.. apa khabar….. difahamkan Dato’ Seri sudah keluar awal pagi….ke mana halanya …?

1. Dato’ Seri telah menyentap minda peminat bolasepak apabila PBNS membuat aduan kepada polis ekoran dakwaan berlaku kegiatan mengatur perlawanan dalam skuad Piala Presiden. Pasukan senior juga disangsikan. Apa ceritanya Dato’ Seri …sialakan.

2.Perlakuan buruk kadang kala bukan melambangkan keseluruhan pasukan tetapi disebabkan satu dua individu yang nakal, tamak dan bercita-cita  untuk mengaut keuntungan dalam sekelip mata. Mengapa agaknya, sukar dihidu perbuatan ini ?

3. Tentulah sindiket judi di luar yang harus juga di bawa meja pengadilan. Kerana merekalah kelompok yang bertanggungjawab memusnahkan kerjaya pemain dan juga imej bolasepak negara. Namun mengapa sukar ditangani ?

Baik, sekian sahaja komentar hari ini dengan tetamu, Dato’ Seri Utama Hj. Mohamad Hj. Hasan, Menteri Besar Negerti Sembilan yang juga Presiden PBNS. Terima kasih atas pandangan. Semoga ia amat berguna kepada kita semua. Kita jumpa lagi esok dengan topik lain pula.     

Tiada ulasan:

Catat Ulasan