Rabu, 15 Jun 2011

Barisan Penyatuan


Komentar Hari Ini
Selamat Pagi 1Malaysia Edisi 20 Mei
Tajuk: Barisan Penyatuan
Penulis Skrip & Penyelidik: Shariff Ahmad
Penerbit SPM: Rafidah Kamaludin
Penerbit KHI: Awang Omar
Penerbit Penyelaras: Reeza Shariman
Penerbit Eksekutif; Roslan Ariffin

COMPERE

Seperti biasa, kita bersua lagi dalam Komentar Hari Ini yang mengupas pelbagai topik  bualan ramai setiap hari.  

Ia disusuli dengan reaksi yang diberikan oleh tetamu melalui panggilan  telefon.

Jika semalam kita berbicara tentang kesederhanaan dalam tindak tanduk termasuk agama, hari ini kita beralih ke topik politik pula.

Untuk itu, kita ikuti kupasan yang disediakan oleh Shariff Ahmad dengan tajuk BARISAN PENYATUAN.

[[PENYAMPAI

Bila Datuk Seri Abdul Hadi Awang diisytiharkan menang tanpa bertanding bagi penggal kelima, ramai yang memikirkan Presiden Parti PAS itu boleh beradu dengan nyenyak.

Kononnya beliau tidak perlu turun gelanggang untuk berkempen bagi meraih sokongan dari para perwakilan menjelang Muktamar ke 57 awal bulan depan.

Berbanding calon-calon lain yang terpaksa berhempas pulas untuk mendapatkan tempat. Benarkah?

Namun, tiada siapa menduga di sebalik kejayaan itu, beliau sebenarnya tidak senang duduk terutama bila melihat persaingan hebat bagi jawatan-jawatan tertinggi.

Apa tidaknya, bagi jawatan Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa berdepan dengan lima calon yang layak manakala jawatan Naib Presiden pula, sejumlah 14 calon disenaraikan. Tentunya satu rekod dalam sejarah parti itu.

Begitu juga dengan jawatan Ketua Dewan Pemuda dan Ketua Dewan Muslimat, masing-masing membariskan empat orang pencabar. Cukup hebat dan akan masuk dalam siri Hari Ini Dalam Sejarah.

Justeru, sudah pasti dalam tempoh dua minggu mendatang, Datuk Seri Abdul Hadi tidak boleh duduk selesa tanpa berbuat sesuatu.

Kerana sekurang-kurangnya, beliau harus memastikan barisan baru yang terpilih kelak  memihak kepadanya. Atau dalam istilah politik dikatakan“orang saya, orang dia, orang aku, orang engkau ”.

Mentelah pula sudah kedengaran wujud dua kumpulan sepertimana pemilihan dua tahun lalu, antara apa yang disebut sebagai kumpulan Erdogan dan Kumpulan Ulamak. Satu pertembungan yang sukar dielakkan.

Satu, membariskan komposisi tenaga profesional, terbuka dan liberal yang mahu membuat anjakan paradigma baru dan satu lagi, mengekalkan tradisi dan identiti agama dalam parti seperti sebelumnya.

Benar, seperti kata Datuk Seri Abdul Hadi, beliau tidak memihak kepada sesiapa kerana barisan yang bakal dicorakkan nanti adalah kepimpinan kolektif. Ia bagaikan ayat lazim dalam politik.

Tegasnya, bilangan ramai calon yang bertanding memperlihatkan kesuburan demokrasi. Namun, di sebalik itu,  beliau juga terpaksa mencongak bentuk kepimpinan bagi menentukan halatuju parti.

Apatah lagi, dalam konteks ini cabaran PAS dilihat begitu mencabar sekali dalam sejarah penubuhannya – dengan kecenderungan yang berbeza antara pihak liberal dan ulamak.

Satunya cuba bersikap lebih terbuka dan toleran untuk berganding bersama-sama sekutunya, DAP dan PKR manakala satu lagi tetap mahu mengukuhkan prinsip perjuangan yang azali berteraskan slogan “Membangun Bersama Islam.”

Tentunya, ideologi dan pemahaman amat berbeza sekali antara PAS dan DAP bagaikan langit dengan bumi.

Begitu juga dengan PKR yang begitu ghairah untuk bertindak sebagai peneraju dalam Pakatan Pembangkang, walaupun hakikatnya ia lebih junior dari dua sekutunya itu.

Namun, ibarat lamaran untuk kemudahan bersama, kesepakatan itu tercipta dengan satu matlamat untuk menafikan pemerintahan sedia ada.

Tidak dinafikan, antara ketiga-tiganya, saling harap mengharap, sandar menyandar antara satu sama lain, walaupun masing-masing mempunyai matlamat tertentu. Tersirat dan tersurat.

Persoalannya, apakah manfaat besar yang bakal dikecapi nanti ? Terutama dalam memperkukuh parti dan menyatupadukan bangsa seummah.

Kerana pembentukan kepimpinan baru ini juga mempunyai signifikan tersendiri dalam konteks menyatukan bangsa sepertimana yang pernah dihulurkan saingannya, UMNO.

Meskipun, lontaran cadangan itu tidak disahut dengan tepat dan kuat, tetapi percayalah, jauh di sudut sanubari, impian untuk bersatu itu kian mengetuk pintu hati.

Justeru mungkinkah di sebalik mahu menentukan hierarki parti, antara Erdogan dan Ulamak, soal kesediaan untuk memperharui tekad dan keazaman bagi menjalinkan keakraban antara PAS dan UMNO juga harus difikirkan bersama.

Terutama mengambil senario semasa dengan pelbagai ujian dan cabaran yang semakin menghimpit maruah umat sebangsa. Kebangkitan bangsa lebih utama.

Ini yang dikatakan Barisan Penyatuan – Barisan Perdamaian dan Kerukunan.
 
Call Out

Baik bersama kita di talian ialah, Dato’ Hj. Nakhaie Ahmad, bekas Yang di Pertua YADIM, juga bekas tokoh pemimpin PAS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan