Khamis, 30 Jun 2011

Kekal Tapi Tak Kekal

KOMENTAR HARI INI
SELAMAT PAGI 1 MALAYSIA EDISI 27/5
TAJUK; KEKAL…TAPI TAK KEKAL
SKRIP/PENYELIDIK; SHARIFF AHMAD
PENERBIT; RAFIDAH
PENERBIT PENYELARAS; ALEX REEZA
PENERBIT EKSEKUTIF; ROSLAN ARIFFIN

COMPERE 1:

Baik, jika semalam kita membicarakan soal kemelut pemberian biasiswa JPA, yang kini akan ditangani  oleh YAB Perdana Menteri  setelah dibincangkan pada mesyuarat jemaah menteri semalam…

Hari ini kita beralih pula ke satu topik lain yang berkisar kepada soal pengekalan harga bahan bakar yang hangat diperdebatkan sejak berminggu lalu.  


COMPERE 2:

Tiada kenaikan harga bererti, subsidi yang ditanggung oleh kerajaan juga tetap serupa. Malah meningkat lagi. Bagaimana pendekatan kerajaan dan rakyat susulan perkembangan ini?

Kita ikuti kupasan Komentar Hari Ini yang disediakan oleh SHARIFF AHMAD bertajuk ‘KEKAL.. ..TAPI TETAP KEKAL”, bersama ...

[[READER

“Demi kepentingan rakyat” itu simpulan Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pengekalan harga RON 95, diesel dan gas petroleum cecair – LPG kelmarin.. 

Kepentingan orang awam mengatasi segala-galanya. Setelah menyedari betapa rasa kurang senang diluahkan pelbagai pihak dengan langkah menaikkan harga bahan bakar itu.

Termasuk juga kalangan orang politik sama ada parti pembangkang mahupun parti pemerintah sendiri. Keduanya bagaikan senada menentang sebarang kenaikan meskipun cara luahannya sedikit berbeza.

Pergerakan Pemuda UMNO menerusi sayapnya di seluruh negara  begitu lantang dalam perkara ini, melahirkan rasa keresahan di kalangan golongan muda.  

Tetapi ramalan pembangkang tersasar dari landasan. Kenaikan tidak menjadi meskipun pada kadar 10 ke 15 sen. Sekaligus membataskannya untuk menjadikan ia sebagai isu. 

Hakikatnya, tiada siapa yang gemar dengan kenaikan ? Walaupun ia akibat kenaikan sejagat dan rantauan. Ia amat menyulitkan.

Bukan sahaja tidak sesuai pada saat negara berdepan suasana  ketidaktentuan ekonomi, bahkan dikhuatiri akan dieksploit  sesetengah pihak terutama peniaga untuk melonjakkan harga setiap urusan.

Masalahnya, bila harga petrol, diesel dan gas naik, maka sudah tentu barangan dan perkhidmatan lain juga naik kerana ia membabitkan soal pengangkutan.

Benar, pengekalan itu tiada kaitan dengan pilihanraya umum yang diramalkan, namun umum menyedari betapa tindakan seumpamanya boleh menjejaskan populariti kerajaan akibat kos perbelanjaan yang terpaksa ditanggung rakyat.
   
Biarlah dalam hubungan ini, kerajaan yang menggalas bebannya dengan jumlah subsidi… menjangkau sekali ganda tahun ini berbanding tahun sebelumnya.

Bayangkan bukan sedikit, tetapi 20.58 bilion ringgit dibandingkan 10.3 bilion ringgit tahun lalu. Berapa banyak projek yang mampu dibangunkan dengan wang sejumlah itu? 
     
Namun, persoalannya sampai bilakah subsidi dan pengekalan harga bahan bakar ini mampu bertahan ?

Adakah untuk sebulan dua ini, atau sampai ke penghujung tahun  ini. atau sepertimana yang diandaikan oleh sesetengah pihak, selepas berakhirnya pilihanraya nanti ?

Soalnya bila,. tahun ini atau tahun depan ? Ia tidak pasti, tetapi akan tetap berlaku satu masa nanti. Semuanya tidak kekal.

Kerana kerajaan terpaksa menyelamatkan jumlah subsidi yang mengalir sewenang-wenangnya ke atas beberapa komoditi, bahan bakar  dan perkhidmatan.

Misalannya, pemansuhan  ke atas subsidi diesel super bagi kapal  nelayan laut dalam, kenderaan limosine mewah dan sembilan kelas kenderaan perdagangan lain mampu menjimatkan kantung negara sebanyak 700 juta ringgit.

Inilah timbal balas yang sepatutnya diberikan oleh rakyat terhadap keikhlasan kerajaan selama ini. Langkah yang diambil amat pragmatik dan unik sekali.

Rintihan dan keluhan pelbagai pihak diambil ingatan, sekaligus menghindari tindakan buru-buruan,  walaupun hakikatnya beban yang digalas begitu berat sekali.

Kerana subsidi bukan diamalkan oleh semua negara termasuk negara-negara gergasi dan maju. Wajar pendedahan dan penjelasan diberikan kepada rakyat supaya memahami kekangan yang dihadapi kerajaan.

Kajian rasionalisasi sepertimana yang dibayangkan  perlu diteruskan.

Bagi rakyat kebanyakan pula, selain mensyukuri nikmat yang ada, perlulah berusaha sedaya upaya untuk berjimat cermat serta  meningkatkan produktiviti dan tabungan bagi mengatasi inflasi.

Secara tidak langsung senjata sendiri sudah dibekalkan untuk menghadapi sebarang kemungkinan sama ada soal kenaikan harga mahupun penampungan subsidi berkenaan.

Benar ia kekal hari ini, tetapi belum pasti esok hari.##


CALL OUT:

Bersama kita di talian ialah Encik Mohd Yusof Abdul Rahman, Pengarah Komunkasi FOMCA. 
 
1.       Bagi masyarakat ramai, sudah tentu pengumuman ini melegakan. Tapi bagi setengah yang lain mungkin sedikit mengecewakan, kerana tidak dapat menjadikan ia sebagai isu. Pandangan Encik Mohd Yusof.

2.       Soalnya, berapa lama tempoh yang difikirkan sesuai bakal diberikan untuk menaikkan harga bahan bakar itu sejak kali terakhir   penghujung tahun lalu. Bagaimana reaksi dan persediaan rakyat nanti?

3.     Ramai peniaga lain pula sudah pun mencongak-congak untuk mendapat keuntungan sebelum kenaikan dikuatkuasakan. Ini tentunya suatu tindakan yang tidak wajar?   

 
Baik itu tadi pandangan Encik Mohd Yusof Abdul Rahman. Sekian dahulu Koemntar Hari Ini. Esok kita akan bersua lagi dengan topik yang baru pula. Terima kasih dan kita kembali ke…

Tiada ulasan:

Catat Ulasan