Khamis, 30 Jun 2011

Kemelut Biasiswa JPA

KOMENTAR HARI INI
SELAMAT PAGI 1MALAYSIA EDISI 26 MEI
TAJUK: KEMELUT BIASISWA JPA
PEN. SKRIP & PENYELIDIK: SHARIFF AHMAD
PENERBIT SPM: ZAMZURI ZAWAWI
PENERBIT KHI: SAMIRA
PENERBIT PENYELARAS: ALEX REEZA
PENERBIT EKSEKUTIF: ROSLAN ARIFFIN

COMPERE 1:

Baik, jika semalam kita berbicara soal impian besar DAP menawan tiga negeri dengan menonjolkan calon Melayu sebagai bakal peneraju, hari ini kita beralih pula ke satu topik lain.

Ia berkaitan dengan  soal pengagihan biasiswa yang dikatakan tidak mengikut kriteria. Benarkah?

Ya, memang ukar untuk memuaskan hati semua pihak, apatah lagi dalam konteks dana atau peruntukan yang terbatas ini. Tetapi sudah tentu, ia tidak bermaksud untuk menafikan hak mana-mana individu.

Untuk itu, kita ikuti kupasan Komentar Hari Ini yang disediakan SHARIFF AHMAD bertajuk KEMELUT BIASISWA JPA…bersama Hisham Salleh. Silakan.

[[PENYAMPAI

Apa sebenarnya maksud yang tersirat di sebalik dakwaan MCA terhadap kemelut yang menyelubungi pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam?

Apakah ia bermaksud memperlihatkan rasa keprihatinan terhadap nasib para pelajar yang tidak mendapat tempat ataupun semata-mata mencari langkauan politik semasa?

Adakah kerana soal pengagihan tidak setara atau kerana didorong sentimen bangsa?

Kerana, sejak beberapa hari lalu, keluh kesah para pemimpin MCA diketuai Presidennya, Datuk Seri Chua Soi Lek dan Ketua Pemudanya, Datuk Dr. Wee Ka Siong agak mencuit perasaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Abdul Aziz.

Sewajarnya keluhan itu dibangkitkan pada platform yang sesuai, misalannya dalam mesyuarat kabinet, sidang parlimen ataupun setidak-tidaknya pada mesyuarat tertinggi BN.

Kerana ia adalah masalah konsensus yang seharusnya ditangani dengan bijak secara keluarga demi memelihara keharmonian bukan sahaja dalam kalangan kepimpinan parti bahkan jemaah menteri.

Sepertimana yang dilakukan oleh 4 menteri kabinet MCA yang ditugaskan untuk mengemukakan perkara itu pada mesyuarat jemaah menteri semalam. Barulah bermusyawarah namanya.

Maka itu, tidak hairanlah mengapa Datuk Seri Nazri, menteri yang bertanggungjawab hal berkenaan melenting kerana mendakwa ada saluran lain untuk mengemukakan teguran, bukannya media sebagai bantahan.

Namun, di sebalik itu, sejauh manakah kebenaran dakwaan berkenaan? Benarkah JPA sengaja melakukan kesalahan ? Memilih bulu dan bersikap pilih kasih.

Kononnya, para pelajar cemerlang yang memperolehi 12A ke 13A tidak diberikan peluang? Kursus pengajiannya pula tidak sesuai manakala ada pula yang diturunkan taraf sekadar pengajian peringkat diploma.

Juga ramai yang dihantar ke institusi tempatan, sedangkan universiti luar negeri menjadi idaman.

Malah, pertikaian utama ialah berhubung sesi temuduga yang dikendalikan terhadap 300 pelajar cemerlang. Kononnya mereka harus dipilih secara automatik berasaskan kelayakan akademik, bukannya kriteria sampingan seperti temuduga.

Tetapi, bukankah ia satu bentuk penilaian?. Demi memenuhi piawaian JPA terhadap calon-calon yang bakal ditempatkan dalam sektor perkhidmatan awam.

Apatah lagi temuduga pula dijalankantenaga profesional bagi menilai ketrampilan para peserta. Bukan dibuat secara tangkap muat semata-mata.

Justeru, calon-calon perlu bersedia menghadapi ujian bersemuka bukannya menyandarkan sepenuh harapan kepada kelayakan akademik sahaja. Kursusnya pula adalah bersifat kritikal yang amat diperlukan negara.

Selain kaedah pemilihan, apakah yang dimaksudkan dengan salah guna kuasa? Adakah kerana penawaran kursus yang tidak mengikut selera atau kerana komposisi pengagihan kaum yang tidak sekata ?

Pastinya yang dimaksudkan jurang pelajar bumiputera dan bukan bumiputera yang sering dijadikan ukuran. Benar, seperti kata Dr. Wee Ka Siong, ia bukan soal sentimen kaum, tetapi perlu ada asas berpaksikan kepada merit dan kelayakan.

Beliau mungkin memegang janji Perdana Menteri tahun  lalu bahawa mereka yang mendapat 8A+ ke atas, akan menerima biasiswa JPA.

Namun, sepertimana pinjaman dan biasiawa yang lain, ruang yang diberikan agak terbatas.  Tentu ada had, kuota dan peruntukan. Bukan semua orang berhak secara automatik. Dan, tentulah ada saringan dan penilaian.

Termasuk juga Dana Pendidikan MCA bernilai 30 juta ringgit yang sedang diwar-warkan bagi membantu para pelajar kurang berada. Tentunya ia tidak mampu memuaskan hati semua ? 

Dalam konteks biasiswa JPA,  peruntukan sedia ada sebanyak 4 ribu biasiswa bagi sesi pengajian tahun ini  melibatkan 1.44 bilion ringgit.

Daripada itu, 1.08 bilion ringgit untuk Program Ijazah Luar Negara sebanyak seribu lima ratus biasiswa dan 0.36 bilion ringgit lagi untuk Program Ijazah Luar Negara sejumlah dua ribu lima ratus biasiswa.         
 
Pembahagiannya pula mengikut beberapa aspek termasuk kuota kaum, kelayakan merit, pertuntukan Sabah Sarawak dan khusus untuk golongan kurang berada.

Dari seribu lima ratus biasiswa luar negeri, 618 diperuntukkan kepada bumiputera dan bakinya, 882 bukan bumiputera. Manakala dari dua ribu lima ratus biasiswa dalam negeri, 1,301 pelajar bumiputera dan 1,199 lain, bukan bumiputera.

Hakikatnya, JPA sebagai badan penyelia sudah pasti membuat yang terbaik berpandukan kepada mekanisme sedia ada.

Sudah pasti dalam proses itu, ada serba sedikit cacat cela, tetapi tidaklah sampai  peringkat menafikan hak serta meminggirkan mana-mana bangsa seperti didakwa.

Untuk memenuhi semua pihak pada suatu masa sudah tentu di luar bidang upaya. Hakikatnya, ia memerlukan suatu timbang tara.

CALL OUT:

Bersama kita di talian ialah Prof. Madya Sohaimi Abdul Aziz, pensyarah Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang.

1. Sekali lagi isu pemberian biasiswa JPA mencuri tumpuan. Benarkah berlaku salahguna kuasa oleh pihak JPA jika dakwaan MCA itu diambilkira. (Kononnya sesi temuduga sebagai penghalang, penawaran kursus yang tidak ikut selera dsb)

2. Mungkinkah kerana peruntukan yang disediakan itu didapati tidak besar dan terbatas sedangkan keperluannya semakin bertambah. Adakah isu ini dapat diselesaikan dengan pertambahan dana ?

3. Sudah ada kecenderungan yang tinggi dalam mendapatkan biasiswa JPA. Apakah ini bermaksud calon-calon begitu berminat untuk berkhidmat dalam sektor kerajaan atau kerana sekadar mahu memanfaatkan pemberian dan anugerah kerajaan?

Terima kasih Prof. Madya Sohaimi Abdul Aziz dari USM. Baik sekian dahulu Komentar Hari Ini. Insya Allah kita akan bersua lagi esok dengan topik yang baru pula.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan