Khamis, 30 Jun 2011

Ketentuan Atau Kecuaian?

KOMENTAR HARI INI
SELAMAT PAGI 1MALAYSIA EDISI 23 MEI
TAJUK: KETENTUAN ATAU KECUAIAN
SKRIP/ PENYELIDIK: SHARIFF AHMAD
PENERBIT PENYELARAS: ALEX REEZA
PENERBIT EKSLUSIF: ROSLAN ARIFFIN

COMPERE :

Baik seperti lazimnya, kita akan membicarakan topik semasa dalam segmen Komentar Hari Ini bagi Edisi 23 Mei.

Dan tentunya, ia berkisar kepada tragedi yang amat memilukan kita semua, membabitkan anak-anak yatim piatu.

COMPERE 2:

Ya, memang tidak dinafikan ia sesuatu yang telah tertulis oleh Illahi. Namun, mana puncanya. Mampukah kita mengatasinya ?

Kita ikuti kupasan yang disediakan oleh Shariff Ahmad bertajuk “Ketentuan atau Kecuaian”…bersama penyampai…

[[READER

Setiap kali berlaku tragedi, rasa simpati dipamerkan segenap peringkat baik kepimpinan mahupun masyarakat awam.

Tenaga sukarela dikerahkan, doa diringkan manakala bantuan pula mencurah dihulurkan. Sekaligus mencuri perhatian.

Tidak lengkap dengan itu, pelbagai kenyataan pula disalurkan. Mungkin sebagai bukti keprihatinan. Setidak-tidaknya agensi dan jabatan turut mengambil bahagian.

Namun, dalam keghairahan itu, timbullah pelbagai takrifan. Kononnya, Rumah Anak-Anak Yatim Hidayah Madrasah At Taqwa FELCRA Semungkis Batu 14 Hulu Langat itu milik persendirian dan tidak berdaftar dengan pihak berkuasa kebajikan. Apa kaitannya?

Pembinaannya pula tidak dipastikan sama ada mengikut peraturan, termasuk permit dan pelan bangunan. Benarkah?

Dan ada pula andaian kononnya musibah itu boleh dielakkan, jika ia dilaporkan kepada pihak berwajib selepas ada petanda awal - berlaku rekahan kecil yang memberi amaran.

Mungkin ya, mungkin sebaliknya, kerana laporan lengkap belum diterima. Perlu ada suatu kepastian.

Tidak dinafikan apajua yang diluahkan itu mungkin ada kebenaran. Cuma ia tidak begitu sesuai tatkala para penghuni dan ahli-ahli keluarga mangsa sedang dirundung kesedihan. Sekurang-kurangnya berilah ruang untuk mereka bertenang.

Apakah yang lebih besar dan pentingnya memperhitungkan soal kecuaian daripada menyanggahi soal ketentuan ? Sedangkan roh dan jasad sudah berpergian.

Namun di sebalik itu, persoalannya yang harus direnungkan bersama ialah persediaan jangka panjang berhubung risiko pembinaan di sisi lereng dan curam.

Sudah acapkali amaran dan peringatan diberikan, namun ia seolah-olah dikesampingkan. Dari tempoh sembilan tahun dari 1993, 26 tanah runtuh berlaku membabitkan 130 nyawa.

Tidak ingatkah kita rentetan bencana di Bukit Antarabangsa, Ulu Yam Perdana, atau Tanah Rata. Dan tentunya tragedi Highland Towers yang menjadi igauan buat selama-lamanya? Ia bagaikan tidak meninggalkan kesan apa-apa.

Hakikatnya, setiap pembinaan di tepi bukit hendaklah dibuat mengikut kesesuaian dan keupayaan. Tanpa membelakangkan peri bahaya yang boleh mengancam nyawa.

Dalam tragedi terbaru ini, umum menyedari betapa bukit yang berlatarbelakangkan pusat itu hanya tidak sampai 35 meter jaraknya, manakala ketinggiannya pula 40 meter mendongak di atas kepala. Tentulah terdedah kepada malapetaka.

Pasti ada pro dan kontra sebelum keputusan membinanya dibuat dahulu. Pertimbangkanlah semuak-muaknya sebarang bentuk pembinaan meskipun tanah yang dimiliki mungkin diwakaf, disumbangkan atau dibeli dengan kos sederhana.

Pandangan pelbagai pihak terutamanya pihak berkuasa tempatan dan bahagian geoteknik dan pakar bukit dan curam harus dijadikan rujukan dan pedoman.

Sebaik mungkin hindarilah sebarang hasrat untuk membina bangunan di tepi lereng dan curam yang membahayakan. Kerana kita tidak tahu apa yang berlaku setiap kali hujan tiba. Pusaran tanah mengganas tanpa sebarang petanda.

Untuk menyalahkan mangsa kononnya tidak membuat laporan segera juga tidak begitu wajar kerana mereka bukannya pakar.

Bagi pihak berkuasa JKR pula, sudah sewajarnya tindakan susulan memeriksa kestabilan tanah yang sedang dilakukan, mecakupi semua kawasan berisiko di sekitar Hulu Langat dan Ampang jika benar terdapat sebarang keraguan.

Kawasan kediaman seperti Taman Bukit Teratai, Cheras Baru, Taman Mega dan sebagainya yang berada dalam lingkaran bukit beralun perlu juga menjalani pemeriksaan.

Kesediaan jabatan itu untuk membuat pemeriksaan terhadap kepada tuan punya termasuk tanah persendirian amat dialu-alukan supaya risiko besar dapat dihindarkan. Tidak perlu ada pengkelasan jika nyawa rakyat hendak diselamatkan.

Apajua, tragedi menyayat hati ini harus membuka minda kita semua untuk sama-sama menanganinya. Tidak perlu menuding jari untuk memberi alasaan.

Sama ada ketentuan atau pun kecuaian, ia harus diterima dengan penuh keinsafan.##

CALL OUT;

Bersama kita di talian ialah Prof. Dr. Roslan Zainal Abidin,
Pengarah Pusat Penyelidikan Tanah Runtuh Negara
UiTM.

1. Nampaknya, perkara sama berulang lagi. Mungkinkah masyarakat masih tidak memahami akan risiko membina bangunan di tepi lereng dan bukit, bukannya sengaja. Perlu ada pendedahan sewajarnya oleh pihak berkuasa?

2. Selain hujan, apakah ada faktor-faktor lain yang menyumbang kepada pergerakan tanah misalannya pembinaan yang keterluan di sekitar kawasan, kerja-kerja pembaikan, sehingga ia menjadi stabil?

3. Dikatakan juga bahawa soal pemantauan oleh pihak berkuasa tidak lengkap kerana kekurangan tenaga khususnya pakar, serta peralatan dan kelengkapan. Mungkin tragedi berlaku sekali sekala?

Baik terima kasih. Prof. Dr. Roslan Zainal Abidin, Pengarah Pusat Penyedlikan tanah Runtuh Negara,. UiTM. Sekian dahulu Komentar Hari Ini. Kita ketemu lagi esok dengan topik yang lain pula.

Gelagat Awang Hitam

KOMENTAR HARI INI
SELAMAT PAGI 1MALAYSIA EDISI 20 MEI
TAJUK: GELAGAT AWANG HITAM
PEN. SKRIP & PENYELIDIK: SHARIFF AHMAD
PENERBIT SPM: SUE ARYANIE
PENERBIT KHI: AWANG OMAR
PENBERBIT PENYELARAS: REEZA SHARIMAN
PENERBIT EKSEKUTIF: ROSLAN ARIFFIN

COMPERE:

Baik saudara, seperti biasa Komentar Hari Ini menyusul dengan membicarakan topik semasa yang mencuri tumpuan ramai.

Disusuli reaksi yang akan diberikan oleh tetamu menerusi panggilan telepon.

Jika semalam kita mengupas soal menjelang pemilihan Parti PAS, pagi ini akan membicarakan pula soal sindiket penipuan warga asing terutama dari Afrika.

Untuk itu, kita ikuti kupasan yang disediakan SHARIFF AHMAD bertajuk GELAGAT AWANG HITAM.

[[PENYAMPAI

Apakah keistimewaan yang dimiliki warga Nigeria sehingga kerapkali berjaya memperdayakan mangsa?

Walaupuan berulang kali amaran diberikan, namun kes penipuan seringkali dilaporkan.

Termasuk terbaru kes membabitkan seorang usahawan wanita Taiwan yang terperangkap dalam sindiket penipuan membabitkan wang RM380,000. Bukannya sedikit.

Semuanya gara-gara jalinan cinta yang tercipta menerusi laman sosial facebook antara wanita itu dengan Awang Hitam berkenaan.

Menyerlahkan satu kaedah baru meneksploit dunia maya hasil ledakan teknologi maklumat untuk mengabui mangsa.

Ini yang mencetuskan kekhuatiran pihak berkuasa ekoran tipu muslihat Awang Hitam dari Nigeria dan negara-negara berjiran benua Afrika.

Mereka menabur kata-kata manis untuk memikat mangsa terutamanya kaum wanita. Anehnya transaksi berlaku tanpa bersemuka…sekadar hubungan di alam maya sahaja.

Persoalannya, mengapakah mangsa mudah percaya dengan tindak tanduk sindiket ini sehingga sanggup menyalurkan wang ribuan hanya dengan lafaz di awang-awangan, penuh kesamaran?

Sedangkan, dari segi logiknya sudah tentu perkara seumpama itu perlu diteliti secara mendalam untuk mendapatkan kepastian sebelum membuat sebarang keputusan. Mana usul periksanya, tidak terlintas di kepala?

Mungkinkah kerana kemahiran berbahasa yang begitu sinonim dengan warga Afrika menjadi puncanya?

Berselindung di sebalik nama seperti John Miller…sangkaannya orang Eropah, rupa-rupanya Afrika.

Modus operandinya hampir serupa. Awang Hitam menjalinkan kemesraan luar biasa, menjanjikan bungkusan berharga akan tiba, sehingga cair dibuat mangsa.

Nilai hadiah pula sudah tentu ratusan ribu harganya. Malahan dalam kes wanita Taiwan itu, ia mencecah RM4.5 juta.

Tentulah tidak masuk akal tetapi kerana termakan pujukan dan rayuan, permintaan itu dipenuhi meskipun timbul sedikit kesangsian.

Namun, sebelum hadiah misteri itu tiba, mangsa dikehendaki mendepositkan sejumlah wang ke dalam akaun Awang Hitam.

Ia sebagai tanda jadi atau wang pendahuluan selaku timbal balas sebelum ganjaran besar diperolehi.

Hakikatnya, sindiket penipuan ini bukan sedikit. Sepanjang tahun lalu, sejumlah RM30 juta diselewengkan membabitkan 759 kes. Empat bulan pertama ini sahaja, RM9.4 juta dicatat. 

Justeru, apakah kita harus membiarkan keadaan ini berleluasa?

Amat wajar tindakan lebih konkrit digerakkan bagi membanteras kegiatan tidak beretika ini.

Pemeriksaan lebih kerap perlu dilakukan bagi membataskan pergerakan mereka. Kerana sebilangannya datang berselindung di sebalik permit social, pelajar atau melancong.

Hukuman lebih berat perlu dijatuhkan ke atas mereka yang melakukan kesalahan imigeresen, jenayah siber mahupun gejala sosial yang lain.

Gelagat Awang Hitam harus diperhatikan supaya penyakit sosial dapat ditangani, dan perlakuan jenayah di batasi.

CALL OUT:

Baik bersama kita di talian ialah Encik Raflly Nann, Pengurus Korporat Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia.

1. Selain terkenal dengan kelicikan luar biasa, mungkinkah Awang Hitam menggunakan elemen lain termasuk ilmu hitam untuk mengabui mangsa?

2. Pihak polis khabarnya sedang menyiasat bila seumpama ini bermula. Ada mangsa yang tidak membuat laporan kononnya merasa malu. Mungkin gejala ini berlaku lebih lama lagi?

3. Mungkinkah kerana hukuman yang ada tidak begitu berat menyebabkan warga Afrika menganggapnya enteng, lalu bergerak bebas serta tidak risau dengan tindakan pihak berkuasa?

Baik itu reaksi Encik Raflly Nann, Pengurus Korporat Yayasan Pencegahan Jenayah. Terima kasih. Sekian dahulu Komentar Hari Ini. Esok kita akan bersua lagi dengan topic yang lain pula. 

Khamis, 23 Jun 2011

Sesi brainstorming di Restoran Syed Maju

Selepas subuh berjemaah di Masjid Kariah Paroi Jaya setiap hari, penulis skrip Komentar Hari Ini, Shariff Ahmad meneliti kesemua akhbar tempatan untuk memikirkan topik yang akan dibincangkan esok. Dia mendapat kerjasama blogger Zulkifli Abu (ceritaapaapasaja.blogspot.com) dan Syam, pengedar akhbar. Sesekali, ia turut disertai Bilal 3, saudara Zulkifli Husein.

Rabu, 15 Jun 2011

Barisan Penyatuan

Komentar Hari Ini
Selamat Pagi 1Malaysia Edisi 20 Mei
Tajuk: Barisan Penyatuan
Penulis Skrip & Penyelidik: Shariff Ahmad
Penerbit SPM: Rafidah Kamaludin
Penerbit KHI: Awang Omar
Penerbit Penyelaras: Reeza Shariman
Penerbit Eksekutif; Roslan Ariffin

COMPERE

Seperti biasa, kita bersua lagi dalam Komentar Hari Ini yang mengupas pelbagai topik  bualan ramai setiap hari.  

Ia disusuli dengan reaksi yang diberikan oleh tetamu melalui panggilan  telefon.

Jika semalam kita berbicara tentang kesederhanaan dalam tindak tanduk termasuk agama, hari ini kita beralih ke topik politik pula.

Untuk itu, kita ikuti kupasan yang disediakan oleh Shariff Ahmad dengan tajuk BARISAN PENYATUAN.

[[PENYAMPAI

Bila Datuk Seri Abdul Hadi Awang diisytiharkan menang tanpa bertanding bagi penggal kelima, ramai yang memikirkan Presiden Parti PAS itu boleh beradu dengan nyenyak.

Kononnya beliau tidak perlu turun gelanggang untuk berkempen bagi meraih sokongan dari para perwakilan menjelang Muktamar ke 57 awal bulan depan.

Berbanding calon-calon lain yang terpaksa berhempas pulas untuk mendapatkan tempat. Benarkah ?

Namun, tiada siapa menduga di sebalik kejayaan itu, beliau sebenarnya tidak senang duduk terutama bila melihat persaingan hebat bagi jawatan-jawatan tertinggi.

Apa tidaknya, bagi jawatan Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa berdepan dengan lima calon yang layak manakala jawatan Naib Presiden pula, sejumlah 14 calon disenaraikan. Tentunya satu rekod dalam sejarah parti itu.

Begitu juga dengan jawatan Ketua Dewan Pemuda dan Ketua Dewan Muslimat, masing-masing membariskan empat orang pencabar. Cukup hebat dan akan masuk dalam siri Hari Ini Dalam Sejarah.

Justeru, sudah pasti dalam tempoh dua minggu mendatang, Datuk Seri Abdul Hadi tidak boleh duduk selesa tanpa berbuat sesuatu.

Kerana sekurang-kurangnya, beliau harus memastikan barisan baru yang terpilih kelak  memihak kepadanya. Atau dalam istilah politik dikatakan“orang saya, orang dia, orang aku, orang engkau ”.

Mentelah pula sudah kedengaran wujud dua kumpulan sepertimana pemilihan dua tahun lalu, antara apa yang disebut sebagai kumpulan Erdogan dan Kumpulan Ulamak. Satu pertembungan yang sukar dielakkan.

Satu, membariskan komposisi tenaga profesional, terbuka dan liberal yang mahu membuat anjakan paradigma baru dan satu lagi, mengekalkan tradisi dan identiti agama dalam parti seperti sebelumnya.

Benar, seperti kata Datuk Seri Abdul Hadi, beliau tidak memihak kepada sesiapa kerana barisan yang bakal dicorakkan nanti adalah kepimpinan kolektif. Ia bagaikan ayat lazim dalam politik.

Tegasnya, bilangan ramai calon yang bertanding memperlihatkan kesuburan demokrasi. Namun, di sebalik itu,  beliau juga terpaksa mencongak bentuk kepimpinan bagi menentukan halatuju parti.

Apatah lagi, dalam konteks ini cabaran PAS dilihat begitu mencabar sekali dalam sejarah penubuhannya – dengan kecenderungan yang berbeza antara pihak liberal dan ulamak.

Satunya cuba bersikap lebih terbuka dan toleran untuk berganding bersama-sama sekutunya, DAP dan PKR manakala satu lagi tetap mahu mengukuhkan prinsip perjuangan yang azali berteraskan slogan “Membangun Bersama Islam.”

Tentunya, ideologi dan pemahaman amat berbeza sekali antara PAS dan DAP bagaikan langit dengan bumi.

Begitu juga dengan PKR yang begitu ghairah untuk bertindak sebagai peneraju dalam Pakatan Pembangkang, walaupun hakikatnya ia lebih junior dari dua sekutunya itu.

Namun, ibarat lamaran untuk kemudahan bersama, kesepakatan itu tercipta dengan satu matlamat untuk menafikan pemerintahan sedia ada.

Tidak dinafikan, antara ketiga-tiganya, saling harap mengharap, sandar menyandar antara satu sama lain, walaupun masing-masing mempunyai matlamat tertentu. Tersirat dan tersurat.

Persoalannya, apakah manfaat besar yang bakal dikecapi nanti ? Terutama dalam memperkukuh parti dan menyatupadukan bangsa seummah.

Kerana pembentukan kepimpinan baru ini juga mempunyai signifikan tersendiri dalam konteks menyatukan bangsa sepertimana yang pernah dihulurkan saingannya, UMNO.

Meskipun, lontaran cadangan itu tidak disahut dengan tepat dan kuat, tetapi percayalah, jauh di sudut sanubari, impian untuk bersatu itu kian mengetuk pintu hati.

Justeru mungkinkah di sebalik mahu menentukan hierarki parti, antara Erdogan dan Ulamak, soal kesediaan untuk memperharui tekad dan keazaman bagi menjalinkan keakraban antara PAS dan UMNO juga harus difikirkan bersama.

Terutama mengambil senario semasa dengan pelbagai ujian dan cabaran yang semakin menghimpit maruah umat sebangsa. Kebangkitan bangsa lebih utama.

Ini yang dikatakan Barisan Penyatuan – Barisan Perdamaian dan Kerukunan.
 
Call Out

Baik bersama kita di talian ialah, Dato’ Hj. Nakhaie Ahmad, bekas Yang di Pertua YADIM, juga bekas tokoh pemimpin PAS.

1.    Walaupun Datuk Seri Hadi bersikap neutral, tetapi beliau tentunya menghadapi kesukaran dalam mengemudikan parti pada masa akan datang. Pandangan Dato’.

2.  Sejauh mana benarnya ada percaturan luar yang mahu menentukan kepimpinan baru parti gara-gara pertembungan dua puak – Erdogan dan Ulamak itu?  

3.  Apapun, tentu sebahagian besar dari kita menaruh harapan kepada soal penyatuan bangsa ditegaskan dalam halatuju parti demi kebaikan, agama, bangsa dan negara. Bagaimana harapannya?

Baik, terima kasih Dato’ Hj. Nakhaie Ahmad atas pandangan itu tadi… Sekian sahaja Komentar Hari Ini. Kita jumpa lagi esok…

Barisan Penyatuan

Komentar Hari Ini
Selamat Pagi 1Malaysia Edisi 20 Mei
Tajuk: Barisan Penyatuan
Penulis Skrip & Penyelidik: Shariff Ahmad
Penerbit SPM: Rafidah Kamaludin
Penerbit KHI: Awang Omar
Penerbit Penyelaras: Reeza Shariman
Penerbit Eksekutif; Roslan Ariffin

COMPERE

Seperti biasa, kita bersua lagi dalam Komentar Hari Ini yang mengupas pelbagai topik  bualan ramai setiap hari.  

Ia disusuli dengan reaksi yang diberikan oleh tetamu melalui panggilan  telefon.

Jika semalam kita berbicara tentang kesederhanaan dalam tindak tanduk termasuk agama, hari ini kita beralih ke topik politik pula.

Untuk itu, kita ikuti kupasan yang disediakan oleh Shariff Ahmad dengan tajuk BARISAN PENYATUAN.

[[PENYAMPAI

Bila Datuk Seri Abdul Hadi Awang diisytiharkan menang tanpa bertanding bagi penggal kelima, ramai yang memikirkan Presiden Parti PAS itu boleh beradu dengan nyenyak.

Kononnya beliau tidak perlu turun gelanggang untuk berkempen bagi meraih sokongan dari para perwakilan menjelang Muktamar ke 57 awal bulan depan.

Berbanding calon-calon lain yang terpaksa berhempas pulas untuk mendapatkan tempat. Benarkah?