KOMENTAR HARI INI
SELAMAT PAGI 1MALAYSIA EDISI 2/6
TAJUK: ANTARA MERIT DAN ASPIRASI ?
SKRIP/PENYELIDIK; SHARIFF AHMAD
PENERBIT SPM; ZAMZURI
PENERBIT KHI; AWANG OMAR
PENERBIT PENYELARAS; ALEX REEZA
PENERBIT EKSEKUTIF; ROSLAN ARIFFIN
COMPERE 1;
Baik, jika semalam kita berbicara tentang kesan kenaikan tarif elektrik, hari ini kita beralih pula ke tajuk lain…berhubung kaedah pemberian kontrak syarikat GLC, UDA.
Benarkah ia tidak mengikut peraturan ? Sehingga menafikan hak syarikat tempatan dan bumiputera.
COMPERE 2;
Ya, sepertimana yang dilaporkan, UDA mempunyai asasnya tersendiri, mempertimbangkan syarikat asing yang mempunyai keutuhan kewangan. Tetapi kaedah itu tidak digemari, kononnya gagal memenuhi aspirasi bangsa dan tanahair.
Kita ikuti kupasan yang ditulis oleh SHARIFF AHMAD bertajuk ‘ANTARA MERIT DAN ASPIRASI ? Bersama penyampai Hisham Salleh
Sesi “berbalas pantun” antara Datuk Musa Sheikh Fadzir,Timbalan Pengerusi UMNO Pulau Pinang dan Datuk Nur Jazlan Mohamed, Pengerusi UDA Holdings nampaknya belum berakhir.
Mungkin mereka mengharapkan ia tercatat dalam ‘Guiness Book of Record’ agaknya.
Sudah beberapa hari pertikaman lidah berlaku antara dua tokoh ini sehingga kadang kala dilihat bersifat peribadi. Persoalannya, bilakah kesudahannya ?
Awalnya, ketika pergeseran timbul, ia terbatas kepada dua insan berkenaan gara-gara apa yang didakwa sebagai ketidak-telusan kaedah pemberian kontrak Projek Pembangunan bekas tapak Penjara Pudu.
Kononnya, dari 11 syarikat yang disenaraikan, lima daripadanya syarikat bumiputera. Namun mengapa pula syarikat asing nun jauh dari negara China yang diambilkira ?
Bagaikan satupun syarikat tempatan tidak berupaya.
Benar, profil dan merit menjadi pertimbangan. Namun, seperti tegas Datuk Musa, falsafah asal penubuhannya harus difahami. Kepentingan bumiputera perlu diberi. Pulangan dan manfaat dikembali.
Namun selepas itu, dituruti cabar mencabar antara kedua mereka. Tentu tidak manis, kerana mereka bernaung di bawah satu bendera. Bukannya seteru dan ideologi berbeza.
Datuk Musa mahu SPRM melakukan siasatan kononnya ada unsur penyelewengan manakala Datuk Nur Jazlan pula meningkah tokoh itu disiasat juga kerana mempunyai kepentingan sama. Apakah bermaksud Datuk Musa menanam orangnya?
Menghangatkan suasana, cabaran Datuk Musa disokong pula Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zaharain Mohamad Hashim, yang menuntut Ketua Audit Negara masuk campur.
Penjelasan Datuk Nur Jazlan kononnya syarikat bumiputera tidak dipinggirkan, sukar diterima. Tuntutan pohon maaf dari Badan Kebajikan Kakitangan Kumpulan UDA pula disanggah Datuk Musa.
Tidak cukup dengan itu, UDA diasak lagi bila timbul dakwaan berhubung hasrat penjualan tanah 1.4 ekar di kawasan segi tiga emas, Jalan Sultan Ismail kepada syarikat gergasi bernilai lebih 200 juta ringgit.
Benar, kantung UDA bakal kukuh, tetapi hakmilik bumiputera akan lebur.
Kali ini dibangkitkan Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Seri Reezal Merican. Ironinya, seperti Datuk Musa dan Datuk Zaharain, trio ini berasal dari Pulau Mutiara. Apakah ada muslihat atau hanya satu kebetulan ?
Sekali lagi membuka ruang kepada Datuk Nur Jazlan mempertikaikan dakwaan. Tegasnya, tiada kepentingan, semuanya ikut peraturan. Namun, mampukah ia menjernihkan kekeruhan ?
Hakikatnya, SPRM sendiri sudah buat keputusan, tiada siasatan pada peringkat ini kerana laporan terperinci tidak dikemukakan. Apakah bermaksud dakwaan itu kabur atau pendedahan sekadar ‘pandang dengar’ (hearsay).
Mungkin dakwaan itu kabur, dan tidak mustahil juga rahsia dalaman sudah bocor. Jika benar, siasatan perlu diatur.
Seperkara lain harus juga diambilkira. Laporan terkini Lembaga Pengarah UDA kepada jemaah menteri seperti dipohon Timbalan Perdana Menteri, perlu disegerakan
Bercakaplah dengan benar, supaya kesangsian terhindar.
Apapun, suatu iktibar perlu diambil susulan epsiod ini. Sikap bertanggungjawab harus meresap dalam jiwa setiap peribadi baik yang menggalas amanah kemudi GLC, mahupun mereka yang bertindak sebagai pemantau dan pemerhati.
Yang memikul amanah, sempurnakan tugas penuh dedikasi. Yang cuba menyanggah, benar, ia suatu tindakan berani. Namun, jangan sekali-kali tersasar sehingga kelak memakan diri.
Ingat, sekali kita menuding jari, empat jemari lain menghala ke muka sendiri.##
CALL OUT;
Baik bersama kita di talian ialah Prof. Datuk Hj. Mohamad Ali Hasan, Timbalan Presiden Transparency International TI-Malaysia. Assalamualaikum dan selamat pagi Prof.
1. Antara merit dan aspirasi. Benar, satu pihak menuntut supaya aspirasi bangsa dan negara dipenuhi. Tetapi tidak salah jika benar UDA memilih syarikat asing yang serba berkemampuan untuk menyempurnakan tanggungjawab. Pandangan Prof.
2. Banyak komen akhir-akhir ini dihalakan kepada UDA. Malahan ada yang mahu ia diserapkan dalam agensi lain kerana kononnya berlaku pertindihan. Namun, tidakkah UDA sendiri sudah mempamerkan yang terbaik setakat ini.
3. Bagaimana Prof memandang kepada kenyataan Timbalan Pesuruhjaya SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdull semalam, kononnya siasatan tidak dibuat kerana tiada maklumat rasuah yang jelas dilaporkan sejak isu itu berbangkit ?
Baik terima kasih Prof. atas pandangan. Itu tadi Prof. Datuk Hj. Mohamad Ali Hasan, Timbalan Presiden Transparency International. Sekian sahaja Komentar Hari Ini. Kita ketemu lagi esok dengan topik yang lain.