Ahad, 10 Julai 2011

Antara Merit dan Aspirasi?


KOMENTAR HARI INI
SELAMAT PAGI 1MALAYSIA EDISI 2/6
TAJUK: ANTARA MERIT DAN ASPIRASI ?
SKRIP/PENYELIDIK; SHARIFF AHMAD
PENERBIT SPM; ZAMZURI
PENERBIT KHI; AWANG OMAR
PENERBIT PENYELARAS; ALEX REEZA
PENERBIT EKSEKUTIF; ROSLAN ARIFFIN

COMPERE 1;

Baik, jika semalam kita berbicara tentang kesan kenaikan tarif elektrik, hari ini kita beralih pula ke tajuk lain…berhubung kaedah pemberian kontrak syarikat GLC, UDA.

Benarkah ia tidak mengikut peraturan ? Sehingga menafikan hak syarikat tempatan dan bumiputera.      
 
COMPERE 2;

Ya, sepertimana yang dilaporkan, UDA mempunyai asasnya tersendiri,  mempertimbangkan syarikat asing yang mempunyai keutuhan kewangan. Tetapi kaedah itu tidak digemari, kononnya gagal memenuhi aspirasi bangsa dan tanahair.

Kita ikuti kupasan yang ditulis oleh SHARIFF AHMAD bertajuk ‘ANTARA MERIT DAN ASPIRASI ? Bersama penyampai Hisham Salleh

[[PENYAMPAI

Sesi “berbalas pantun” antara Datuk Musa Sheikh Fadzir,Timbalan Pengerusi UMNO Pulau Pinang dan Datuk Nur Jazlan Mohamed, Pengerusi UDA Holdings nampaknya belum berakhir.

Mungkin mereka mengharapkan ia tercatat dalam ‘Guiness Book of Record’ agaknya.

Sudah beberapa hari pertikaman lidah berlaku antara dua tokoh ini sehingga kadang kala dilihat bersifat peribadi. Persoalannya, bilakah kesudahannya ?

Awalnya, ketika pergeseran timbul, ia terbatas kepada dua insan berkenaan gara-gara apa yang didakwa sebagai ketidak-telusan kaedah pemberian kontrak Projek Pembangunan bekas tapak Penjara Pudu.

Bukit Bintang City Centre nama diberi. Nilai tender 6.7 bilion cukuplah tinggi. Merobah landskap, mantapkan organisasi,Belumpun bangun sudah cetus kontroversi.

Kononnya, dari 11 syarikat yang disenaraikan,  lima daripadanya syarikat bumiputera. Namun mengapa pula syarikat asing nun jauh dari negara China yang diambilkira ?

Bagaikan satupun syarikat tempatan tidak berupaya.

Benar, profil dan merit menjadi pertimbangan. Namun, seperti tegas Datuk Musa, falsafah asal penubuhannya harus difahami. Kepentingan bumiputera perlu  diberi. Pulangan dan manfaat dikembali.

Namun selepas itu, dituruti cabar mencabar antara kedua mereka. Tentu tidak manis, kerana mereka bernaung di bawah satu bendera. Bukannya seteru dan ideologi berbeza.  

Datuk Musa mahu SPRM melakukan siasatan kononnya ada unsur penyelewengan manakala Datuk Nur Jazlan pula meningkah tokoh  itu disiasat juga kerana mempunyai kepentingan sama. Apakah bermaksud Datuk Musa menanam orangnya?
 
Menghangatkan suasana, cabaran Datuk Musa disokong pula Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zaharain Mohamad Hashim, yang menuntut Ketua Audit Negara masuk campur.

Penjelasan Datuk Nur Jazlan kononnya syarikat bumiputera tidak dipinggirkan, sukar diterima. Tuntutan pohon maaf dari Badan Kebajikan Kakitangan Kumpulan UDA pula disanggah Datuk Musa.

Tidak cukup dengan itu, UDA diasak lagi bila timbul dakwaan  berhubung hasrat penjualan tanah 1.4 ekar di kawasan segi tiga emas,  Jalan Sultan Ismail kepada syarikat gergasi bernilai lebih 200 juta ringgit.

Benar, kantung UDA bakal kukuh, tetapi hakmilik bumiputera akan lebur.

Kali ini dibangkitkan Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Seri  Reezal Merican. Ironinya, seperti Datuk Musa dan Datuk Zaharain, trio ini berasal dari Pulau Mutiara. Apakah ada muslihat atau hanya satu kebetulan ?

Sekali lagi membuka ruang kepada Datuk Nur Jazlan  mempertikaikan dakwaan. Tegasnya, tiada kepentingan, semuanya ikut peraturan. Namun, mampukah ia menjernihkan kekeruhan ?  

Hakikatnya, SPRM sendiri sudah buat keputusan, tiada siasatan pada peringkat ini kerana laporan terperinci tidak dikemukakan. Apakah bermaksud dakwaan itu kabur atau pendedahan  sekadar ‘pandang dengar’ (hearsay).

Mungkin dakwaan itu kabur, dan tidak mustahil juga rahsia dalaman sudah  bocor.  Jika benar, siasatan perlu diatur.
  
Seperkara lain harus juga diambilkira. Laporan terkini Lembaga Pengarah UDA kepada jemaah menteri seperti dipohon  Timbalan Perdana Menteri, perlu disegerakan  

Bercakaplah dengan benar, supaya kesangsian terhindar.  

Apapun, suatu iktibar perlu diambil susulan epsiod ini. Sikap bertanggungjawab harus meresap dalam jiwa setiap peribadi baik yang menggalas amanah kemudi GLC, mahupun mereka yang bertindak sebagai pemantau dan pemerhati.    

Yang memikul amanah, sempurnakan tugas penuh dedikasi. Yang cuba menyanggah, benar, ia suatu tindakan berani. Namun, jangan sekali-kali tersasar sehingga kelak memakan diri.

Ingat, sekali kita menuding jari, empat jemari lain menghala ke muka sendiri.##     
 
CALL OUT;

Baik bersama kita di talian ialah Prof. Datuk Hj. Mohamad Ali Hasan, Timbalan Presiden Transparency International TI-Malaysia. Assalamualaikum dan selamat pagi Prof.

1. Antara merit dan aspirasi. Benar, satu pihak menuntut supaya aspirasi bangsa dan negara dipenuhi. Tetapi tidak salah jika benar UDA memilih syarikat asing yang serba berkemampuan untuk menyempurnakan tanggungjawab. Pandangan Prof.

2. Banyak komen akhir-akhir ini dihalakan kepada UDA. Malahan ada yang mahu ia diserapkan dalam agensi lain kerana kononnya berlaku pertindihan. Namun, tidakkah UDA sendiri sudah mempamerkan yang terbaik setakat ini.

3. Bagaimana Prof memandang kepada kenyataan Timbalan Pesuruhjaya SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdull semalam, kononnya siasatan  tidak dibuat kerana tiada maklumat rasuah yang jelas dilaporkan sejak isu itu berbangkit ?       
Baik terima kasih Prof. atas pandangan. Itu tadi Prof. Datuk Hj. Mohamad Ali Hasan, Timbalan Presiden Transparency International. Sekian sahaja Komentar Hari Ini. Kita ketemu lagi esok dengan topik yang lain.

Penjadualan Berhemah


KOMENTAR HARI INI
SELAMAT PAGI 1MALAYSIA EDISI 1/6
TAJUK; PENJADUALAN BERHEMAH
SKRIP/PENYELIDIK; SHARIFF AHMAD
PENERBIT SPM; SUA ARYANIE
PENERBIT KHI; AWANG OMAR
PENERBIT PENYELARAS; ALEX REEZA
PENERBIT EKSEKUTIF; ROSLAN ARIFFIN
 
COMPERE 1;

Banyak yang memperkatakan susulan kenaikan tarif elektrik yang sudahpun berkuatkuasa tengahmalam tadi.

Ada yang menyahut positif dan menerima kenyataan, tetapi ada pula yang merungut dan menyatakan bantahan.
 
COMPERE 2;

Namun, pelbagai insentif dan pelan pengimbang diperkenalkan mengiringi pengumuman itu. Yang pentingnya ialah pendekatan kita semua menghadapi cabaran itu.

Apa yang harus dilakukan ? Untuk itu, kita ikuti kupasan bertajuk ‘PENJADUALAN BERHEMAH” yang disediakan oleh SHARIFF AHMAD….bersama penyampai ZALEHA. Silakan.
 
[[READER

Tidak banyak yang boleh dilakukan lagi susulan kenaikan tarif elektrik domestik, komersial dan industri sebanyak 2.23 sen  per sekilowat sejam, sepertimana yang dimumkan. Semuanya sudah dimuktamadkan.

Kerana ia bukannya suatu khabar baru sebab langkah  semakan semula telahpun kedengaran sejak beberapa bulan lalu ekoran kenaikan harga gas bagi sektor tenaga. Harus diterima dengan terbuka.

Hakikatnya, sumber gas asli semakin meningkat -– dari serendah RM10.70 setiap juta termal British (MMBtu)  kepada RM13.70.

Pun, kenaikan itu dikatakan masih lagi rendah berbanding dengan negara-negara jiran lain, misalannya Thailand RM18.23, Indonesia RM21.04 dan Singapura RM43.32.

Jika tidak, sudah pasti tarif elektrik negara akan meningkat lebih tinggi. Mujur, kenaikan itu tidak menjejaskan ramai individu kecuali para peniaga dan pengusaha yang mengguna elektrik berlipatganda.   

Lantaran, mahu tidak mahu, kita harus menerima kenyataan bahawa, kenaikan tidak dapat dielakkan. Walaupun masih lagi kedengaran bantahan dan sungutan pelbagai pihak termasuk dari para penyokong kerajaan.

Kononnya ia membebankan rakyat ekoran kemungkinan kenaikan barangan, manakala kadar inflasi pula dikatakan sukar dibatasi. Persoalannya, jika tidak hari ini, lambat laun terepaksa juga dilalui.

Hakikatnya, ia sesuatu yang tidak dapat dibendung jika pelan pengimbang tidak dilakukan. Sama juga dengan proses rasionalisasi subsidi yang kerapkali difikirkan oileh kerajaan.   

Umum menyedari, semakan penyelarasan perlu dibuat setiap enam bulan sekali. Kali terakhir penetapan tarif dua tahun lalu sebanyak 3.7 peratus. Kebetulan, ketika itu ia menurun berbanding sebelumnya selepas harga gas merudum.

Tetapi kali ini, seperti semakan tahun 2006, ia naik sedikit kepada 7.12 peratus bersamaan 33.54 sen setiap kilowat sejam.

Lantaran, langkah paling berkesan ialah melancarkan kempen “austerity” yakni berjimat cermat di semua peringkat sepertimana ketika negara berdepan cabaran inflasi lewat tahun 80an dahulu.

Baik pengguna secara individu, mahupun sektor lain termasuk perusahaan dan industri, institusi pengajian, kilang dan pertubuhan amnya, perlu mempunyai piagam penjimatan tenaga.

Malahan, jabatan dan agensi kerajaan juga tidak terkecuali. Penggunaan tenaga harus diminimumkan, lampu jalan dikurangkan manakala majlis-majlis resepsi berupa “makan-makan” dan hiburan disingatkan.

Semuanya bertujuan memandu rakyat supaya mengurus hal ehwal harian secara berhemah dengan harapan bil letrik tercatat sepaling rendah. Pembaziran tidak akan berlaku, sekaligus mampu mengimbangi kos pengurusan yang melulu.

Bagi para pengusaha terutama yang terlibat dengan pengeluaran makanan dan barangan serta perkhidmatan pula, jangan sekali-kali  mengambil kesempatan menaikkan harga. Jika sudah berikrar, ia harus dikotakan.

Kerana kesannya tidaklah seberapa jika dibandingkan dengan perolehan yang diterima.

Bagi pengeluar tenaga baik syarikat berkaitan kerajaan seperti TNB dan loji persendirian dan bebas ( IPP), mereka harus mempunyai pelan jangka panjang untuk memanfaatkan  pendapatan tambahan susulan perkembangan ini.

Bukan sahaja memperbaiki infrastruktur membabitkan pelarasan tenaga mengikut keperluan semasa, malah lebih dari itu merencana secara serius ke arah menyumbang kepada pengeluaran tenaga yang diperbaharui (renewable energy - RE).

Tentunya dalam hubungan ini, ia tidak lagi bergantung kepada sumber konvensional termasuk gas, arang batu dan fosil  tetapi bahan-bahan kitaran lain khususnya dalam lingkaran teknologi hijau.  Begitu juga solar, angin dan biomas.

Rancangan futurisitik perlu direncanakan supaya kebergantungan terhadap sumber-sumber yang semakin menipis, dapat diatasi.

Hakikatnya, semua pihak harus mengambil iktibar, dan bersikap optimis dalam menghadapi cabaran seumpamanya. Benar, kenaikan tidak dapat dielakkan, namun tindak balas positif perlu dating dari kita sendiri.   

Penjadualan berhemah mampu mengimbanginya##
    
CALL OUT;

Baik, bersama kita di talian ialah Tuan Hj. Badaruddin Mahyuddin, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.
 
1. Walaupun penjelasan telah diberikan bagi maksud   menjustifikasikan  kenaikan tarif elektrik ini, namun masih kendengaran rungutan dan bangkangan dari pelbagai peringkat masyarakat. Mengapa ia berlaku ?

2.  Ada pula yang mendakwa, TNB dan IPP yang lain mencapai keuntungan, tetapi mengapakah semakan kenaikan tarif ini diperlukan ?

3.   Dari segi pelan jangka panjang, apakah pengeluar tenaga baik TNB mahupun syarikat-syarikat persendirian ini cenderung untuk mempelbagaikan sumbernya jika ia mampu mengurangkan kos operasi sekaligus menurunkan tarif ?. 

Baik itu tadi Tuan Hj. Badaruddin Mahyuddin, TKSU Kementerian Tenaga, Teknolgi Hijau dan Air. Sekian dahulu Komentar Hari Ini. Kita bersua lagi esok dengan topik yang lain pula. Kembali kepada…##


Terpedaya Logo Halal



KOMENTAR HARI INI
SELAMAT PAGI 1MALAYSIA EDISI 31 MEI
TAJUK; TERPEDAYA LOGO HALAL
SKRIP/PENYELIDIK; SHARIFF AHMAD
PENERBIT SPM; RAFIDAH KAMALUDIN
PENERBIT KHI; AWANG OMAR
PENERBIT PENYELARAS; ALEX REEZA
PENERBIT EKSEKUTIF; ROSLAN ARIFFIN
 
COMPERE 1:

Baik, jika semalam kita berbicara tentang penarikan semula  pembekuan pembantu rumah Indonesia, hari ini kita beralih ke topik yang lain pula.

Soal makanan halal seringkali menghantui urusan dan kehidupan masyarakat Islam.

COMPERE 2:

Anehnya, kemasukan barangan luar seringkali mengelirukan dengan tanda halal. Jika tidak diteliti, sudah tentu akan membawa kemudaratan kerana melanggari hukum syarak.

Bagaimana mahu menanganinya? Untuk itu kita ikuti kupasan Komentar Hari Ini yang disediakan oleh SHARIFF AHMAD dengan tajuk “TERPEDAYA LOGO HALAL”  
 
[[READER – WAN SYAHRINA

Namanya sahaja sudah agak janggal. “Bir Halal” !!!

Sepengetahuan umum, tidak ada minuman bir yang halal. Semuanya haram belaka. Air campuran buah-buahan seumpamanya pasti memabukkan.

Asalkan namanya bir, ia tentulah haram. Seperti juga khinzir dan dadah, tiada yang halal.

Namun, inilah yang terjadi di selatan tanahair apabila pihak berkuasa agama negeri Johor – JAJ melakukan pembongkaran setelah mendapati “bir halal” itu mengandungi 0.5 peratus bahan alkohol.

Sedangkan, sepertimana lazimnya, yang dibenarkan syariat Islam  ialah sekadar 0.01 peratus sahaja. Lantaran mana ada halal?

Mujur Jabatan Agama Johor bertindak pantas dan pro-aktif setelah menerima aduan orang ramai yang meragui kandungan minuman.

Ia dianalisis untuk mendapatkan kepastian sebelum sampelnya dikemukakan ke Jabatan Kimia. Hasil ujian makmal mendapati “bir halal” diperbuat dari perisa buah-buahan.

Mungkin agaknya ramuan buah anggur gred rendah. Itu sebab kandungan alkoholnya tidak begitu menyerlah. Antara mabuk dan sebaliknya. 

Susulan itu, apa yang harus dilakukan baik pihak berkuasa agama kebangsaan atau agensi-agensi penguatkuasaan termasuk Kastam Di Raja yang menjaga lukah negara?

Menariknya, minuman “bir halal” ini khabarnya sudah berada di pasaran sejak setahun yang lalu di kafe-kafe ternama secara berleluasa.  

Dalam tempoh itu, sudah berapa ramai umat Islam yang meneguknya? Jangan pakai hentam sahaja, perlu ada usul periksa. Syukur ia dapat dikesan lebih awal.

Dengan saiz kecil yang cantik ala botol cuka atau kicap, dan label negara Arab tertera dengan nyata, sudah pasti ia meyakinkan pelanggan Muslim seluruhnya..

Mungkin tulisan jawi yang terpapar menguatkan lagi keyakinan diri. Sehingga ia mampu membolosi pintu pemeriksaan tanahair tanpa rasa curiga.

Namun, pihak berkuasa kastam juga tidak boleh dipersalahkan. Kerana seperti barangan import lain, kemasukannya tidak boleh disekat asalkan ia mengikut peraturan. Apatah lagi dokumen kemasukannya lengkap.

Cuma kemusykilan yang timbul apakah produk tidak halal ini sengaja dieksport dari luar untuk mengabui mata pelanggan setempat. ? Mentelah pula harganya dalam jangkauan ramai, sekitar 3 hingga 5 ringgit.

Berbanding minuman bir lain yang lebih mahal harganya. Mungkin itu daya tarikan utama kepada pelanggan. Rasanya pula dikatakan amat berperisa, manis-manis buah. Sekali teguk, mahu dua.
  
Lantaran dalam hubungan ini, pengimport harus tampil ke hadapan, bertanggungjawab meleraikan kesamaran. Butiran lanjut harus diperolehi dari rakan koloborasinya di Timur Tengah.

Jika benar tidak disedari, ia mungkin boleh dimaafkan, namun jika sebaliknya pula, tiada jalan pintas yang boleh dihalalkan. Bukankah bersubahat namanya itu?

Hakikatnya, sekatan secara spontan harus dilakukan sepertimana yang bakal dikuatkuasakan oleh JAKIM berserta Majlis-Majlis Agama Negeri.

Kesan moralnya juga harus menimbulkan kesedaran. Kemungkinan banyak lagi kes seperti ini berlaku di depan mata, namun ia tidak disedari kerana masing-masing bersikap alpa dan sambil lewa.

Pemakaian logo halal juga harus ada sempadan. Tatkala usahawan bukan Islam kini begitu ghairah mendapatkan sijil halal dari JAKIM untuk dipamerkan.

Mungkin bagi maksud mengeksploit saiz kepenggunaan Islam yang ramai dalam pasaran industri halal yang dikatakan menjana ekonomi sebanyak 45 bilion setahun.

Namun, jangan kerana dibuai keghairahan angka dan perolehan, soal ketulenan dan kesahihan diHALALKAN.##   

CALL OUT:

Bersama kita di talian ialah Encik Mustapha Hamid, Pegawai Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia – PPIM.


1.  Mengapa agaknya perkara ini dikesan agak lewat setelah produk ini berada di pasaran sejak setahun lalu. Adakah kerana masyarakat Islam tidak ambil kisah, sedangkan istilah “bir halal” itu sendiri menimbulkan kemusykilan?

2.   Perkara serupa juga mungkin berlaku ke atas barangan lain yang diperbuat di negara ini. Tetapi kerana barangan itu dibalut dengan iklan dan logo yang menarik menyebabkan orang ramai terus terpedaya?

3.  Keghairahan usahawan bukan Islam untuk mendapatkan sijil halal mungkin membuktikan potensi besar produk halal bagi keperluan negara dan antarabangsa. Namun, jika tidak diawasi, ada kemungkinan akan berlaku penyelewengan?

Baik itu tadi pandangan Setiausaha PPIM Encik Mustapha Hamid, Pegawai Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia – PPIM. yang membicarakan topik pilihan  kita pagi ini. Insya Allah, kita akan bersua lagi esok dengan topik yang lain pula.    

Penentu Hidup Mati


KOMENTAR HARI INI
SELAMAT PAGI 1MALAYSIA EDIS 29 MEI
TAJUK; PENENTU HIDUP MATI
SKRIP/PENYELIDIK;SHARIFF AHMAD
PENERBIT KHI; AWANG OMAR
PENERBIT SPM; RAFIDAH
PENERBIT PENYELARAS; ALEX REEZA
PENERBIT EKSEKUTIF; ROSLAN ARIFFIN
 
COMPERE 1:

Baik, walaupun tarikh pilihanraya umum ke- 13 masih lagi dalam teka teki, namun bahangnya semakin dirasakan di setiap hari..

Strategi dan perancangan disusun oleh setiap parti secara sulit mahupun terbuka. Masing-masing dengan matlamat tertentu.    

COMPERE 2;

Bagi BN pula, pilihanraya percubaan atau simulasi tidak lama lagi bakal dijadikan ukuran kemampuannya. Apa signifikannya?

Untuk itu, kita ikuti kupasan Komentar Hari Ini yang disediakan oleh SHARIFF AHMAD bertajuk ‘PENENTU HIDUP MATI” bersama Hisham Salleh.
 
[[PENYAMPAI

Apa yang tersirat di sebalik penegasan Datuk Seri Najib Tun Razak,  bahawa BN tidak terpengaruh cadangan parti pembangkang khususnya DAP untuk mengadakan pilihanraya umum negeri, secara berasingan?

Adakah beliau tidak kisah dengan  hasrat tersebut atau menganggap ia suatu langkah yang tak mungkin berlaku meskipun dari sudut perundangan dan perlembagaan ia dibenarkan?

Lebih-lebih lagi, cadangan yang dikemukakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak mendapat konsensus keempat-empat negeri tadbiran pembangkang.

Kecuali Selangor, Kedah dan Pulau Pinang, Kelantan di bawah pimpinan Dato’  Nik Aziz Nik Mat nampaknya secara terbuka menyanggah cadangan Setiausaha Agung DAP itu kononnya ia tidak begitu realistik.

Mungkin kerana faktor kos yang melambung tinggi jika pilihanraya diadakan berulang kali ataupun ada sebab lain.

Namun berdasarkan pengamatan Mursyidul Am PAS itu, ia suatu strategi yang boleh memakan diri.

Kerana, seperti sindiran beliau, “pelesit dan jembalang” akan  menyerang.

Mungkin beliau merujuk kepada gerombolan jentera BN yang bakal memberi sepenuh tumpuan kepada keempat-empat  negeri pembangkang jika ada pilihanraya berasingan.

Benar, seperti tegas Perdana Menteri, BN tidak perlu terikut-ikut dengan hasrat pembangkang kerana ia di luar kawalannya. Sebaliknya BN harus menyusun langkah sendiri menghadapi apa jua kemungkinan.

Daya tahan dan daya saing perlu diperkukuhkan. Matlamat memburu kemenangan mesti disertai dengan kesungguhan. Hayat parti mesti dipertahankan.

Persoalannya sudah adakah ciri-ciri ini untuk merobah imej dan identiti parti?  

Hakikatnya, persediaan mental dan fizikal perlu ditingkatkan mulai sekarang dalam kalangan keseluruhan jentera parti di segenap peringkat cawangan dan bahagian sedangkan tarikh besar sudah menghampiri..
 
Langkah mengadakan simulasi atau pilihanraya olok-olok Julai depan sepertimana diumumkan semalam suatu pendedahan yang amat berguna buat jentera BN. Ia suatu raptai atau latihan menjelang tanggal sebenar.   

Bukan sahaja ia dapat memastikan kelancaran tenaga, jentera  dan logistik di peringkat akat umbi bahkan pada masa sama mampu menilai penerimaan seteru politik khususnya mereka yang berada atas pagar.

Lantaran, simulasi yang bakal digerakkan harus mencakupi semua peringkat –-- baik negeri, bahagian mahupun cawangan dengan harapan para petugas dan pendokong parti dapat merasai gementar  PRU mendatang.

Bagi para pemimpin pula, kegiatan-kegiatan rutin termasuk jalan santai atau walkabout yang mendapat perhatian rakyat harus diteruskan. Amalan turun padang perlu kerap diadakan.

Matlamatnya untuk mendekati mereka sehingga terbit rasa kasih sayang secara semulajadi. Bukannya menunggu di saat akhir untuk berbakti. Ia harus dilakukan sekarang.